Ribut Solar Dijangka Melanda Bumi Malam Ini

Bumi dijangka akan dilanda satu fenomena ribut solar yang berpotensi menyebabkan masalah-masalah utama kepada grid elektrik. Ribut solar ialah satu keadaan gangguan pada matahari yang menjejaskan seluruh sistem suria termasuk bumi.

Fenomena tersebut diramal sampai ke bumi sekitar pukul 12 tengah malam ini menurut Pejabat Meteorologi Britain dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara Amerika Syarikat (NOAA).

Ribut solar berlaku disebabkan oleh sejenis fenomena suar matahari yang digelar Lontaran Massa Korona (CME). Ia merupakan satu pengusiran plasma besar dari lapisan luar Matahari yang dikenali sebagai korona.

Ribut solar itu dijangka akan menyebabkan kejadian ribut geomagnetik yang kecil dan sederhana. Kemungkinan ia akan berterusan sehingga 12 Oktober (waktu tempatan) sebelum angin pantas dari lubang korona tiba dan mungkin meneruskan aktiviti geomagnetik yang agak aktif.

Suar matahari tersebut boleh memberi kesan kepada sistem perhubungan dengan menjejaskan grid elektrik, transformer, dan mengganggu satelit serta komunikasi radio bahkan cahaya Aurora Borealis (Northern Lights) ‘berganjak’ lebih jauh ke selatan berbanding biasa.

Sementara itu, profesor dari Institut Pengurangan Risiko dan Bencana di UCL, Dr. Robert Wicks dalam satu temubual bersama Sky News memaklumkan ribut geomagnetik boleh menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Katanya, gangguan komunikasi dan satelit boleh membahayakan sistem penerbangan, selain urusan harian seperti sistem penggunaan kad kredit dan perbankan turut terjejas.

Para penyelidik telah mengawasi pembentukan ribut solar sejak tahun 1950-an untuk memahami jenis risiko yang dibawa apabila ia berlaku.Sekumpulan saintis yang membuat kajian berhubung perkara ini mendapati, unsur-unsur radioaktif yang dilepaskan oleh ribut solar pada 660 sebelum masihi telah ditemui di Greenland.

Perlindungan dan pengetahuan masyarakat terhadap ribut solar mesti ditingkatkan kerana secara umumnya masyarakat masih memandang remeh risiko ribut. Hasil penyelidikan itu telah diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.

Sementara itu, Pejabat Meteorologi Britain menasihatkan orang ramai agar tidak panik. Menurut pihak mereka, medan magnetik Bumi dapat membantu melindungi manusia daripada kesan-kesan lebih ekstrem yang disebabkan oleh fenomena tersebut.

Adakah ribut solar ini satu fenomena yang akan menyebabkan kegelapan pada masa akan datang sebelum berlakunya kiamat? Wallahu ‘alam.