Mengenali Istinggar, Senjata Moden Awal Alam Melayu

Selain keris yang sinonim sebagai senjata tradisi masyarakat Melayu, istinggar juga merupakan antara senjata yang digunakan oleh orang Melayu pada zaman silam. Namun tidak banyak yang diketahui mengenai sejarah istinggar dan penggunaannya di alam Melayu.

Istinggar adalah istilah pinjaman dari perkataan Portugis ‘espingarda’, yang bermaksud ‘senapang lantak’ iaitu sejenis senjata api muat hadapan berlaras licin dan direka agar boleh ditembak dari bahu.

Biji pelurunya disumbat melalui suatu muncung yang dipukul dengan kuat (dilantak) supaya keras atau padat dengan suatu batang kayu khas.

Senjata api ringan berhulu pendek dan berlaras panjang. Ia merupakan warisan teknologi Portugis yang tersebar melalui penjajahan Portugis ke Asia merangkumi Asia Selatan dan Alam Melayu.

Walaubagaimanapun, sebelum kedatangan bangsa Portugis di Asia Tenggara, orang-orang Melayu sudah mempunyai senjata api primitif, iaitu arquebus Jawa. Senjata api ini memiliki laras yang sangat panjang (hingga 2.2 m).

Semasa penaklukan Portugis ke atas Melaka pada 1511, ia terbukti mampu menembus lambung kapal ke sisi lain. Namun mekanisme pencucuh dan larasnya masih sangat kasar.

Orang-orang Portugis di Goa, India dan Melaka secara bebas menghasilkan senjata api sendiri. Mulai tahun 1513, tradisi pembuatan senjata Jerman-Bohemia digabungkan dengan tradisi pembuatan senjata Turki.

Pembuatan istinggar ditiru dan diubahsuai orang tempatan di kepulauan Melayu pada pertengahan kurun ke-16 dan menjadi popular kerana ia ringan dan kecil untuk dibawa ke mana-mana.

Senjata kuno ini mengguna pakai mekanisme pencucuh sumbu yang terdiri daripada tujuh komponen iaitu burung bedil, sumbu bedil, lubang penggalak, pejera, kecubung bedil, jarum bedil dan laras bedil.

Istinggar buatan dari Minangkabau, Sumatera sangat diminati kerana hasil kerja tangan mereka yang kemas. Bagi memenuhi pemintaan, orang Minangkabau mengeksport senjata api mereka ke kawasan lain, seperti ke Aceh, Melaka dan Kesultanan Siak.

Senjata ini akhirnya menyebar ke wilayah-wilayah Muslim di kepulauan Filipina, di mana ia dikenali sebagai “astinggal”. Kamus Tagalog San Buenaventura 1613 mendefinisikan “astingal” sebagai “arquebus, jenis yang biasa mereka gunakan pada zaman dahulu dalam perang mereka dan yang berasal dari Borneo”.

Ini nampaknya menjadi rujukan pertama mereka di Luzon utara. Walaupun begitu, orang Sepanyol tidak pernah bertemu senjata ini di Luzon, tidak seperti di Mindanao. Pada tahun 1609, orang Sepanyol melaporkan bahawa di Zambales banyak penduduk asli menangani arquebus dan musket dengan mahir, kerana mereka telah melihat orang Sepanyol menggunakan senjata mereka.