Kisah Lelaki Yang Memotong Tangan Untuk Terus Hidup

Apakah tindakan yang sanggup anda lakukan apabila berdepan dengan situasi di antara hidup dan mati? Itulah dilema yang dihadapi Aron Ralston, seorang jurutera yang sangat menggemari aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan gunung.

Kisah tragis ini terjadi sewaktu Aron merancang untuk mendaki seorang diri di kawasan tebing tinggi bergaung di Blue John Canyon berhampiran dengan Maob, Utah pada tahun 2003.

Apabila Aron tiba di satu kawasan, dia cuba mendaki turun sebuah gaung sempit tanpa menggunakan bantuan peralatan. Ketika dia sedang berjalan turun, batu yang dipegangnya tiba-tiba tergelincir menyebabkan dia jatuh bersama-sama batu tersebut.

Nasibnya malang kerana batu yang bersaiz besar itu menghempap tangan kanannya dan menyebabkan ia luka dan berdarah.

Aron cuba menarik tangannya keluar daripada bawah batu yang menghempap tetapi gagal. Kemudian dia mencuba mengangkat batu tersebut, namun tetap tidak berjaya. Setelah beberapa percubaan mengalihkan tangan gagal dia berhenti dan cuba menenangkan diri.

Dengan hanya sebelah tangan, Aron mengeluarkan segala peralatan dari begnya iaitu pisau serbaguna, lampu kepala, kamera video, tali statik, tali sling, harness, botol air dan beberapa pek makanan.

Kemudian dia membuka kamera video dan merakam keadaan dirinya yang terperangkap di celah batu ketika itu. Sewaktu dia bercakap seorang diri dengan kamera video, tiba-tiba pasir jatuh bertaburan dari atas.

Aron terus menjerit dan meronta meminta tolong sekuatnya. Namun tiada sebarang tindak balas atau jawapan. Selepas dia berhenti menjerit, suasana kembali menjadi sunyi sepi dan hanya kedengaran nafasnya sendiri yang seperti mahu terputus.

Aron merasa putus asa dan dia mengambil kamera video yang terpasang sejak tadi di hadapannya. Rakaman dalam kamera video dimainkan daripada awal. Sebaik sahaja dia menonton keadaan cemas dirinya, Aron tidak suka dengan rakaman itu. Dia tidak mahu rakaman video dia menjerit putus asa menjadi benda terakhir yang dijumpai dan dilihat sesiapa pun.

Dia mula mendapat semangat baru dan berbisik kepada dirinya sendiri bahawa masih ada harapan untuk melepaskan diri daripada terus terperangkap dan mati di situ.

Aron berusaha bersungguh-sungguh mengikis batu yang menghempap tangannya. Namun usahanya tetap gagal malah keadaan menjadi lebih kritikal apabila mata pisau yang digunakannya untuk mengikis batu tersebut menjadi tumpul.

Hari pertama berakhir dengan dia bermalam secara tergantung di celah-celah gaung dalam keadaan kesejukan. Pada hari kedua, Aron bangun dari tidur yang tidak nyenyak dengan memikirkan cara untuk membebaskan tangannya dari batu tersebut. Pelbagai cara telah dia lakukan namun kesemuanya menemui jalan mati.

Masuk hari ketiga dan keempat, bekalan air yang makin berkurangan menyebabkan Aron terpaksa bertahan dengan meminum air kencingnya sendiri.

Aron terus berusaha dengan cuba memotong sebahagian tangannya tetapi agak sukar dilakukan kerana mata pisau yang tumpul. Dalam masa yang sama dia berdoa semoga ada pendaki yang menemuinya tersembunyi di dalam gaung itu namun hampa.

Apabila masuk hari kelima, keadaan makin terdesak kerana sudah kahabisan sumber makanan dan minuman untuk membantunya meneruskan hidup. Saat itu dia nekad untuk mematahkan tulang tangannya sendiri.

Tanpa berfikir panjang, Aron membenamkan pisau yang tumpul ke bahagian bawah lengannya dan cuba mengoyak luka yang dalam itu dengan sebelah tangan lagi. Kemudian dia menggunakan playar yang ada pada pisau serbagunanya yang tumpul untuk memotong tendon dan urat sarafnya.

Akhirnya Aron berjaya memotong tangannya sendiri dan dalam kesakitan dengan pantas dia membalut lengan yang telah kudung dan berlari keluar dari gaung sempit itu. Dengan bantuan tali yang dibawa, Aron menuruni tebing setinggi lebih dari 100 kaki.

Satu keluarga yang sedang berjalan keluar dari kawasan Blue John Canyon itu terserempak dengan Aron dan dibantu beberapa pendaki lain, Aron akhirnya dibawa ke hospital dengan helikopter.

Selepas Aron diselamatkan, tangannya yang masih tertinggal dikeluarkan oleh sekumpulan penyelamat dengan mengalihkan batu besar itu. Aron membakar tangan itu dan menabur abunya di tempat dia hampir menemui ajal.

Kehilangan lengannya memberi kesan mendalam kepada Aron tetapi dari segi kewangan, sehingga ke tahun 2013 dia memperolehi 4 juta dolar AS dari jualan buku, memberi ceramah motivasi dan royalti filem bertajuk 127 Hours.

Kisah ini menimbulkan perbahasan masyarakat tentang kekuatan mental yang dimiliki Aron. Adakah kita mampu melakukan tindakan seperti Aron untuk menyelamatkan diri atau terus menanti untuk diselamatkan pihak lain?