Parti Republikan AS Kritik Superman LGBT

Parti Republikan AS yang terdiri daripada majoriti penganut agama Kristian dan berfahaman konservatif mengkritik langkah menjadikan watak Superman sebagai individu LGBT.

DC Comics, penerbit komik adiwira popular, memperkenalkan karakter Superman sebagai individu yang tergolong dalam kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi siri komik terkini mereka.

Superman terbaru adalah Jon Kent yang merupakan anak kepada watak Superman asal iaitu Clark Kent dengan Lois Lane dalam siri yang akan dikeluarkan pada bulan depan.

Siri komik itu akan memaparkan hubungan percintaan antara anak lelaki Clark Kent dengan rakannya Jay Nakamura, yang juga seorang wartawan.

Untuk menampilkan siri superhero yang bersifat kepelbagaian, DC Comics ini menampilkan jalan cerita yang berbeza dan membawa peminat untuk meneroka identiti karakter Jont dalam siri baru ini dari sudut pandang LGBT.

Penulis bersiri komik popular Superman iaitu Tom Taylor mengatakan Superman merupakan superhero yang menegakkan keadilan, memberi harapan dan kebenaran.

Menurut DC Comics, komik edisi ‘Superman: Son of Kal-El’ isu lima itu bakal berada di kedai-kedai buku pada 9 November depan.

Watak Robin dalam komik Batman juga turut diumumkan sebagai lelaki songsang pada bulan Ogos yang lalu.

Marvel Comics, pesaing DC Comics mengumumkan watak LGBT pertamanya, Captain Amerika pada Mac tahun ini.

Seorang ahli politik konservatif AS berkata, “Watak biseksual dalam komik untuk kanak-kanak. Mereka terang-terang cuba menghancurkan Amerika.”

Manakala seorang pemimpin politik di Britain berkata, “Satu demi satu, virus liberal memakan hero kanak-kanak.”