5 Manfaat Hubungan Erat Bapa Dan Anak

Biasanya dalam sebuah keluarga, ibu mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan anak berbanding ayah. Namun begitu, banyak kajian menunjukkan manfaat yang besar kepada anak sekiranya bapa juga mempunyai hubungan erat dengan anak.

1. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Father Involvement Research Alliance, anak-anak yang mempunyai hubungan rapat dengan bapa dari peringkat bayi lagi menunjukkan kestabilan emosi, memiliki IQ yang tinggi, mempunyai kemahiran sosial yang baik dan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang.

2.Hubungan akrab di antara bapa dan anak akan membina keyakinan diri anak tersebut. Mereka akan menjadi lebih berani untuk meneroka persekitaran dan perkara baru kerana mempunyai tempat rujukan untuk meminta nasihat. Anak-anak juga mampu mengendalikan rasa bimbang dan takut apabila berjauhan dari rumah seperti memulakan aktiviti persekolahan.

3.Kecemerlangan sahsiah dan akademik anak-anak juga turut dipengaruhi oleh hubungan mereka dengan ayah. Melalui kajian yang sama, anak yang rapat dengan bapa adalah 43% lebih berpotensi untuk mendapatkan A dalam semua matapelajaran. Majoriti kanak-kanak juga jarang mempunyai masalah disiplin dan kemurungan berbanding mereka yang kurang rapat dengan bapa.

4.Anak perempuan yang mempunyai hubungan positif dengan bapa mereka dapat mengenalpasti ciri lelaki yang baik dan sesuai dijadikan teman hidup mereka. Anak perempuan akan menjadikan bapa mereka sebagai piawaian kepada lelaki-lelaki yang akan ditemui dalam kehidupan mereka. Komunikasi dan contoh baik yang diberikan kepada anak perempuan akan mengelakkan mereka daripada terpedaya dengan cinta palsu lelaki hidung belang.

5.Bagi anak lelaki, kemahiran berhubung dengan masyarakat dan khususnya wanita biasanya dibentuk hasil hubungan sihat dengan bapa mereka. Mereka akan mencontohi sikap murni yang ditunjukkan ayah dalam pelbagai situasi. Anak lelaki banyak dipengaruhi oleh asuhan ayah yang akan membina karakternya pada masa depan.

Eratkan hubungan anda dengan anak-anak bermula hari ini, meskipun ada yang merasakan sudah agak terlambat. Lebih baik terlambat daripada langsung tak buat, kan?