Zahid Guna Duit Yayasan Beli Hotel Di Bali Untuk Anaknya

Wang sebanyak RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi (YAB) dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bagi pembelian sebuah hotel butik di Bali, Indonesia untuk anaknya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, bahawa Datuk Nurulhidayah iaitu anak Zahid Hamidi berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

Tan Sri Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83) dan Datuk Seri Mohd Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84) mengesahkan mereka telah bertemu dengan Nurulhidayah dan tertuduh bagi membincangkan cadangan usaha sama.

Perkara itu bermula apabila tertuduh memberikan arahan khusus kepada Affin Bank untuk mengeluarkan dana berjumlah RM17,953,191.04 daripada tujuh akaun simpanan tetap YAB melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Firma Lewis & Co mengeluarkan sekeping cek kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd pada 30 Jun 2016 yang berjumlah RM8.6 juta sebaik menerima arahan daripada tertuduh.

Menurut B Muralidharan (saksi pendakwaan ke-87), dia diarahkan oleh tertuduh untuk membuat pembayaran itu bagi tujuan membeli 60 peratus saham syarikat tersebut daripada Tan Sri Rashid yang ketika itu adalah Pengerusi Ri-Yaz Asset.

Fakta-fakta itu disebut di akhir kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Raja Rozela berkata Ahmad Zahid telah diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khas iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin serta menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

Katanya Ahmad Zahid juga secara sedar telah memilih untuk menggunakan dana YAB bagi membayar kad kredit, polisi insurans serta cukai jalan kenderaannya dan tidak menggunakan akaun bank peribadi beliau.

Bekas Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan dalam kenyataannya menyebut cek terbabit disediakan atas arahan dan pengetahuan tertuduh.

Pendakwaan turut menyangkal dakwaan pembelaan bahawa Mazlina memiliki kawalan penuh ke atas buku cek justeru, tertuduh tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.

Itu hanya alasan kerana Ahmad Zahid adalah bos Mazlina. Beliau hanya perlu meminta Mazlina menunjukkan buku cek dan penyata kad kredit kepadanya.

Raja Rozela menegaskan bahawa Mejar Mazlina bukan sengaja menyembunyikan buku cek daripada tertuduh kerana tidak ada asas untuk itu.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.