Amaran Malaysian Meteorological Department, Teori Konspirasi Jadi Realiti?

Satu hantaran ringkas yang dikongsi laman Facebook Malaysian Meteorological Department menarik perhatian warganet yang mengaitkannya dengan pelbagai teori konspirasi.

Hantaran tersebut memaparkan infografik sebuah beg kecemasan dengan isi kandungan yang dicadangkan, dengan slogan 1 Rumah 1 Beg Kecemasan.

Manakala di bahagian atas gambar pula tertera slogan, ‘Siapsiaga Hadapi Ancaman Gempa Bumi Dan Tsunami’.

Hantaran tersebut mendapat lebih 2000 tanda suka, 2000 kali dikongsi dan lebih 600 komen daripada warganet.

Rata-rata komen mengaitkan bahawa ia adalah isyarat tersembunyi daripada kerajaan Malaysia untuk menyuruh rakyat bersedia menghadapi bencana dan krisis yang boleh berlaku pada bila-bila masa berkaitan dengan keadaan semasa dunia.

Seorang pengikut bernama Noor Aini menulis, “First time tengok jabatan meteorologi bagi amaran macam ni. Bukan amaran bencana saja. Siap persediaan sekali. Di samping siap kan beg bekalan, siapkan juga amalan untuk rohani. Terbaik.”

Manakala seorang pengikut bernama Maruz Dzul menulis, “Bagus dan tahniah Malaysian Malaysian Meteorological Department kerana terapkan kesedaran #BePreppers. BOB a.k.a Bug Out Bag adalah penting dicapai bila berlaku apa jua kecemasan.” Dia juga berkongsi senarai barangan yang mengisi beg kecemasan mengikut keperluannya dan keluarga.

Ada juga pengikut yang meninggalkan komen bergambar bertanya adakah amaran tesebut ada kaitan dengan Persidangan G7 di United Kingdom yang kononnya telah menayangkan rancangan untuk mencetuskan tsunami di seluruh dunia kecuali satu tempat di China.

Ordos, satu kawasan yang terletak di China berada 1300 meter dari paras laut dan didakwa bakal dijadikan bandar baharu yang sudah siap untuk didiami bila-bila masa.

Gambar air ombak menjadi lambang tema perjumpaan G7 2021 malah semua ketua negara G7 bergambar dengan latar belakang ombak dan puncak gunung.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengikut lain menyangkal komen-komen yang mengaitkan amaran itu dengan teori konspirasi.

Damia Asri meninggalkan komen bergambar yang menunjukkan gambar Perdana Menteri, Ismail Sabri melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 pada 5 Oktober lalu.

Ia bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 dan Hari Pengurangan Risiko Bencana Antarabangsa (𝘐𝘯𝘡𝘦𝘳𝘯𝘒𝘡π˜ͺ𝘰𝘯𝘒𝘭 π˜‹π˜’π˜Ί 𝘧𝘰𝘳 π˜‹π˜ͺ𝘴𝘒𝘴𝘡𝘦𝘳 π˜™π˜¦π˜₯𝘢𝘀𝘡π˜ͺ𝘰𝘯) yang disambut pada setiap 13 Oktober,

Beberapa komen lain turut mengatakan tiada apa yang luar biasa tentang amaran siapsiaga tersebut kerana Malaysia akan berdepan dengan musim tengkujuh tahunan yang bermula pada November sehingga awal bulan April yang mengakibatkan banjir di banyak negeri.

Namun, risiko gempa bumi dan tsunami, dua bencana alam yang sebelum ini asing pada rakyat Malaysia tidak wajar dipandang remeh.

Sejak beberapa tahun lalu, Sabah turut merasai gegaran gempa bumi dan persisiran pantai barat dan timur negara turut berisiko menerima hentaman tsunami seperti kejadian tsunami pada 2004 yang melanda Sumatera.

Walau apa pun teori dan andaian, rakyat Malaysia tidak perlu cemas tetapi harus mula mempersiapkan diri dan keluarga dengan situasi-situasi yang tidak dijangka pada masa akan datang.