Harta Karun Pulau Nangka Bukan Dongeng

Diberi nama berdasarkan bentuk fizikal seperti buah nangka, Pulau Nangka berada kira-kira empat kilometer dari Pulau Besar, Melaka. Pulau berbatu yang berkeluasan kira-kira 20 hektar itu memiliki keistimewaan yang unik dari aspek panorama dan sejarah.

Namun berbanding keindahan panoramanya, Pulau Nangka lebih dikenali dengan misteri harta karun yang dijaga Sultan Mahmud Shah, pemerintah terakhir Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai di antara USD40 hingga USD 50 bilion.

Menurut Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Drs Mohd Nasruddin Rahman yang ditemuramah portal Melaka Hari Ini, harta karun itu memang benar-benar wujud.

Kerajaan negeri membeli pulau yang berhampiran Umbai, Jasin itu daripada seorang ahli perniagaan dan melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), kerja-kerja menggali harta karun berkenaan secara rasminya dimulakan pada 1995.

Kerja-kerja menggali harta karun di Pulau Nangka pada 2014

Namun pakar dan ahli arkeologi dari seluruh dunia masih gagal untuk mengeluarkan harta karun tersebut yang menjadikannya terus menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Sebelum ini, ada individu yang sudah berjaya menembusi tempat itu tetapi apabila mereka memegang emas yang dijumpai untuk dibawa keluar, kaki mereka tidak boleh melangkah. Apabila diletakkan kembali emas itu, barulah mereka boleh melangkah semula. Setakat ini, hanya dua syiling lama saja yang berjaya ditemui sepanjang kerja pencarian harta karun di pulau berkenaan.

Tambah beliau, hanya orang tertentu sahaja yang akan dibenarkan ‘penjaga’ untuk melihat harta karun berkenaan, malah dua pintu gua iaitu dari darat dan bawah laut pulau itu juga tidak mudah untuk ditemukan.

Allahyarham Ustaz Datuk Dr Haron Din merupakan individu pertama yang menyaksikan sendiri kewujudan 84 peti berkenaan setelah Allahyarham dapat berhubung dengan ‘penjaga’ harta berkenaan.

Mengikut cerita penduduk tempatan, harta-harta itu mula disimpan sejak dari zaman Sultan Alauddin Riayat Syah selepas mendapat ilham dan firasat mengenai kejatuhan Melaka. Ruang simpanan bukanlah gua semula jadi sebaliknya merupakan bukaan yang dibuat dengan doa para Wali Allah pada zaman dahulu.

Ketika Melaka diserang pada tahun 1511, Portugis hanya berjaya memperoleh 1/3 daripada harta kekayaan Melaka yang sebenar. Sebanyak 2/3 harta kekayaan Melaka yang lain dipercayai masih tersimpan di sekitar negeri Melaka di ruang bawah tanah dengan dinding kebal dan ia tidak musnah walaupun istana tersebut hangus terbakar.

Pihak Portugis telah menemui kapur barus, kasturi yang disimpan di dalam belanga, peti-peti yang menyimpan sutera, kain satin, kain taf, sutera putih, kapur, kayu cendana, jongkong emas, mutiara, tembikar dan kayu gaharu di sebalik runtuhan kebakaran Istana Melaka semasa penggeledahan. Namun baki harta yang lebih banyak disorok di dalam gua di Pulau Nangka.

Ratusan tan harta karun yang mengandungi mahkota permata, syiling emas Jawa kuno, jongkong emas, berlian dan persalinan pakaian dipercayai disembunyikan di dalam 84 biji peti yang setiap satunya sepanjang 1.8 meter bersamaan saiz keranda mayat orang.