Tanaman Hidroponik Jana Pendapatan Lumayan

Kawasan semak samun di belakang halaman belakang rumah kini dimanfaatkan Afizul Jamal, 36 bagi menjana pendapatan dengan menanam tanaman sayur-sayuran hidroponik.

Berbekalkan sedikit pengetahuan semasa menuntut di Institut Pertanian Sabah dan pencarian melalui saluran YouTube mengenai cara penanaman hidroponik, dia memulakan projeknya pada tahun 2019.

Walaupun tanpa ada tunjuk ajar sesiapa dan hanya menggunakan peralatan yang dibeli secara atas talian, ternyata kerja keras Afizul membuahkan hasil.

Pemilik Apy Hidroponik Eco Farm ini boleh berbangga kerana menjadi pengusaha sayur-sayuran hidroponik pertama di daerah Papar.

Buat masa sekarang, kebun seluas 7,500 kaki persegi miliknya sudah mampu menghasilkan kira-kira 100 kilogram sayur-sayuran setiap minggu.

Malah pelbagai agensi kerajaan menjemput Afizal untuk berkongsi pengalaman mengusahakan tanaman sayur-sayuran hidroponik di kawasan tanah rendah.

Antara cabaran yang dihadapi Afizal adalah menyesuaikan keadaan cuaca di tanah rendah bagi tanaman sayur-sayuran terutama salad namun cabaran itu berjaya dillalui setelah melakukan pelbagai percubaan.

Katanya, “apa yang bagus tentang tanaman hidroponik ini, ia tidak melibatkan kos kerugian yang besar sekiranya tanaman tidak berhasil.

“Biarpun kos untuk memulakan projek agak mahal iaitu kira-kira RM5,000 bagi mendirikan rumah hijau dan sistem perpaipan namun, kos penyelenggaraan dan kerugian tidak besar jika tanaman tidak menjadi mahupun diserang penyakit.’

Afizul mula mengambil kursus pertanian dengan agensi kerajaan selepas setahun mengusahakan tanaman bagi memohon geran untuk meluas dan mempelbagaikan lagi jenis sayur-sayuran yang ditanam.

Tahun lalu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meluluskan geran Agroprenuer Muda berjumlah RM20,000 kepada Afizul.

Dengan dana itu, dia menanam salad coral hijau (green coral) dan juga buah rock melon yang mempunyai nilai pasaran tinggi meskipun mengambil masa lama untuk setiap tuaian.

Dia berjaya menuai kira-kira 150 kilogram rock melon yang berharga RM5 sekilogram di pasaran pada bulan Ogos.

Tambah beliau, secara purata beliau memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM3,500 hingga RM4,000 sebulan menerusi hasil jualan sayur-sayuran hidroponik tersebut.

Katanya, permintaan terhadap sayur-sayuran sangat tinggi dan dia sendiri tidak mampu menampung permintaan di pasar raya.

Justeru, dia sudah mula mencari kawasan baharu bagi mengusahakan tanaman cili secara fertigasi bagi mempelbagaikan keluaran hasil tanamannya.