Ahli Parlimen Hulu Langat Minta KJ Profesional Tidak Emosi

Ahli Parlimen Hulu Langat mengkritik kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang berbunyi, kerajaan akan ‘menyusahkan’ individu yang terus enggan divaksin tanpa sebab dibenarkan.

Hasanuddin Hasanuddin Mohd Yunus menegaskan Khairy perlu bertindak profesional sebagai seorang menteri yang membuat dasar dan bukannya terbawa-bawa dengan emosi.

Menurutnya, kerajaan mesti menguruskan dengan bijak kumpulan yang belum divaksin, sama ada yang tidak layak divaksin secara perubatan atau mereka yang enggan.

Hasanuddin turut berkata, dia mendesak kerajaan melalui pelbagai kementerian terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk lebih proaktif dalam meningkatkan kempen kesedaran pengambilan vaksin dalam masyarakat.

Khairy dilaporkan berkata kerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar.

“Mungkin bunyinya sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin. Ini adalah kerana mereka sendiri memilih untuk tidak menerima vaksin melainkan mereka tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan dan dikecualikan juga dalam sistem MySejahtera. Tetapi jika sebaliknya, maka memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya.

Menurut Khairy, undang-undang mewajibkan vaksin di peringkat persekutuan mungkin tidak akan dibuat namun ia boleh dilaksanakan di peringkat negeri dan sektoral.

Individu yang melengahkan atau menolak vaksin mungkin akan diwajibkan untuk menjalani ujian calit Covid-19 secara mingguan dengan kos tersebut tidak akan ditanggung kerajaan.

Tambah Hasanuddin, tindakan yang mendiskriminasi kumpulan antivaksin hanya akan menyemarakkan lagi keadaan “panas dan tegang” di kalangan rakyat.

Rakyat memerlukan kerajaan yang bijak mengurus negara ketika konflik melanda, bukan sekadar marah-marah dengan penuh emosi.

Walaupun kerajaan belum mewajibkan vaksinasi Covid-19 secara menyeluruh, tetapi telah mewajibkannya untuk sektor termasuk perkhidmatan awam dengan tindakan tatatertib bakal dikenakan kepada yang enggan.

Bagaimanapun, bagi individu yang tidak mendapatkan vaksin Covid-19 atas alasan perubatan yang sah, akan menerima sijil pengecualian.

Kenyataan Khairy yang bernada ugutan disambut dengan kritikan warganet dan ramai yang berkongsi Qunut Nazilah mendoakan kehancuran Khairy dan penyokongnya.