Jatuhnya Al Capone Di Tangan Peguam Sendiri

Al Capone merupakan mafia selebriti yang hidup mewah di Chicago sekitar tahun 1930, hasil daripada empayar perniagaan haram. Dia turut dikenali dengan kekejaman terhadap sesiapa yang cuba mengancam periuk nasinya.

Ramai yang mati akibat kerakusan Al Capone namun setiap kali samseng itu diheret ke mahkamah, dia dibebaskan daripada tuduhan walaupun pihak berkuasa mempunyai bukti kukuh tentang jenayahnya.

Kehebatan Al Capone melepaskan diri daripada hukuman, tidak lain dan tidak bukan adalah hasil kelicikan peguam kesayangan bernama Edward Joseph O’hare.

Rumah agam mewah milik Al Capone

Dipanggil ‘Easy Eddie’, dia mahir tentang selok-belok perundangan dan bijak memanipulasi kelemahan sistem sedia ada dengan bertindak sebagai wakil Al Capone untuk merasuah hakim, juri, polis dan pelbagai individu supaya berpihak kepada mereka.
Sebagai tanda penghargaan, Al Capone membayar imbuhan lumayan di atas perkhidmatan cemerlang peguam peribadinya. Hubungan erat Eddie dengan Al Capone membolehkan Eddie menikmati kehidupan yang setaraf seperti Al Capone.
Keadaan berubah apabila Al Capone menghadapi pertuduhan lari daripada membayar cukai dan kerajaan Amerika Syarikat memerlukan saksi yang boleh membantu mereka untuk menyabitkan tuduhan.
Kunci bagi menyabitkan Al Capone terhadap dakwaan adalah melalui rekod pendapatannya dan Eddie merupakan individu yang boleh memecahkan kod rahsia yang digunakan dalam lejar akaun perniagaan Al Capone.

Suasana perbicaraan kes Al Capone di mahkamah[/caption]
Pada permulaan perbicaraan kes Al Capone, Eddie membocorkan maklumat bahawa Al Capone telah mengatur juri yang bakal menyokongnya. Ekoran tip yang diterima, hakim menukar juri yang dimaksudkan kepada kes berlainan sebelum perbicaraan Al Capone bermula.
Al Capone didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama 11 tahun di Penjara Alcatraz, tambahan 6 bulan penjara kerana kesalahan menghina mahkamah. Dia juga didenda sebanyak 50,000 dolar US dan dikenakan 7,692 dolar US sebagai kos mahkamah dengan tambahan 215,000 dolar US termasuk faedah bagi cukai yang tertangguh.
Persoalan yang selalu dibincangkan oleh masyarakat ialah, apakah punca yang menyebabkan peguam Al Capone itu berpaling tadah?
Banyak spekulasi mengatakan Eddie bersetuju menjadi saksi kerajaan menentang Al Capone adalah kerana anaknya. Walaupun Eddie seorang peguam bermoral rendah, dia sangat sayangkan tiga orang anaknya terutama anak lelaki tunggal yang juga diberi nama Edward.
Naluri kebapaan Eddie mahukan Edward yang mesra dengan nama timangan ‘Butch’ membesar di luar pengaruh kongsi gelap. Eddie juga mula merasa bertanggungjawab untuk meninggalkan tauladan serta nama baik kepada anak-anaknya. Dia tidak mahu anak-anak dan cucu cicitnya dikenali sebagai keturunan peguam yang bersekongkol dengan penjenayah terkutuk.
Dalam masa yang sama, Butch berminat untuk melanjutkan pengajian ke Akademi Naval US Annapolis dan syarat kemasukan adalah perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada wakil pegawai kanan akademi di Kongres AS.
Cita-cita anaknya bakal terhalang jika dia terus bekerja dengan Al Capone, kerana Eddie telah termasuk dalam senarai individu di bawah pemerhatian kerajaan. Bila-bila masa sahaja Eddie boleh ditangkap dan didakwa atas penglibatannya dengan pelbagai aktiviti haram Al Capone.
Lalu, Eddie menghubungi wartawan bernama John Rogers yang mengaturkan pertemuan dengan pendakwaraya, jabatan cukai AS iaitu Internal Revenue Service (IRS) dan Kongres AS bagi membuat rancangan menangkap Al Capone.
Maka termaktublah dalam lembaran sejarah Amerika Syarikat, tumpasnya ‘Scarface’ Al Capone yang selama ini bagaikan halimunan yang tidak boleh disentuh.
Namun, pengkhianatan Eddie terhadap majikannya tidak dibiarkan tanpa hukuman. Seminggu sebelum Al Capone dibebaskan pada November 1939, Eddie menemui ajalnya walaupun tiada bukti dapat mengaitkan Al Capone dengan pembunuhan tersebut.
Pada Rabu, 8 November 1939 Eddie meninggalkan pejabat dengan pistol semi-automatik .32-kaliber buatan Sepanyol tersisip di pinggang. Satu tabiat yang luar biasa kerana sebelum ini dia tidak pernah membawa sebarang senjata apabila ke mana-mana.
Namun pada hari itu, dia bagaikan dapat menjangka perkara buruk yang bakal terjadi. Eddie memandu kereta jenis coupe buatan Lincoln menuju ke destinasi yang hanya dia sahaja ketahui.
Sejurus tiba di persimpangan Ogden dan Rockwell, sebuah kereta sedan menghampiri kereta mewah berwarna hitam itu dari arah belakang. Kedua-dua buah kereta berhenti di depan lampu isyarat dalam posisi bersebelahan di antara satu sama lain.
Tanpa sebarang amaran, penumpang di kereta sebelah mengeluarkan pistol dan mengacukan tepat ke arah sasaran. Bang! Bang! Bertalu-talu tembakan dilepaskan ke arah Eddie dan dia terbunuh serta-merta tanpa sempat menggunakan pistol yang dibawa.
Tembakan tersebut mengakibatkan keretanya hilang kawalan lalu terbabas merempuh lampu jalan. Kereta yang membawa pembunuh dan rakan subahat memecut laju, lesap seperti lipas kudung di celah-celah lorong bangunan.
Begitulah kesudahan riwayat seorang lelaki yang beberapa tahun sebelum itu tidak pernah khuatir akan keselamatan diri, kerana beliau peguam kesayangan Al Capone.