Anwar Derma Gaji & Elaun, Tolak Tawaran Ubahsuai Pejabat

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sebahagian daripada kemudahan bertaraf menteri yang diberikan terhadap beliau.

Kemudahan tersebut termasuk bayaran gaji bulanan berjumlah RM14,907.20 dan akan menyalurkan semua dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.

Berikut adalah butiran-butiran kemudahan diterima:
1. RM 14,907.20 sebulan untuk gaji bulanan
2. RM 12,320.00 sebulan untuk elaun keraian
3. RM 1,500.00 sebulan untuk bayaran khas
4. RM 4,000.00 sebulan untuk elaun rumah
5. RM 833.00 sebulan untuk elaun selenggara rumah
6. RM 6,000.00 untuk elaun pakaian panas (sekali dalam 3 setahun)
7. RM 1500.00 untuk elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam 3 tahun)
8. RM 1500.00 untuk elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam 3 tahun)
9. Sebuah kereta rasmi dan sebuah kenderaan peribadi

Beliau mengucapkan terima kasih di atas kesediaan serta pengiktirafan kerajaan yang bersetuju menambahbaik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia.

Antara kemudahan lain adalah sebuah pejabat bagi Ketua Pembangkang termasuk kakitangan bagi membantu urusan kerja dan pejabat.

Namun menerusi kenyataan pada malam Sabtu, Anwar tidak bersetuju dengan butiran sebahagian kemudahan yang diberikan sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada beliau yang diutus Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beberapa lagi kemudahan lain yang setaraf menteri juga tidak dapat diterima oleh beliau sama sekali.

“Saya juga telah tegaskan pada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.

“Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal,” katanya.

Anwar memberitahu, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada beliau itu, pengiktirafan yang diterima itu tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang.

“Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala. Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi,” katanya.