Lelaki Perlu Ketepi Perasaan Malu Dalam Isu Kesihatan

Kaum lelaki perlu mengetepikan perasaan malu yang menghalang mereka mendapat nasihat perubatan dan rawatan dalam memastikan tahap kesihatan diri sentiasa berada keadaan yang baik.

Antara masalah kesihatan yang sering dihadapi kaum lelaki adalah mati pucuk, ejakulasi pramatang, sindrom kekurangan hormon testosteron, kesuburan, kanser testis dan prostat serta hiperplasia prostatik benign.

Permasalahan utama dalam kesihatan kaum lelaki adalah disfungsi ereksi (DE) atau ‘mati pucuk’ yang merujuk kepada keadaan apabila zakar tidak berupaya menegang selepas mendapat ransangan seks yang jika tidak dirawat misalnya akan mengganggu hubungan suami isteri.

Masalah mati pucuk ini penting untuk dirawat dan biasanya ia mempunyai kaitan dengan penyakit lain yang tidak diketahui sebelum ini.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa disfungsi ereksi mungkin merupakan petunjuk awal bahawa seseorang lelaki itu mungkin menghadapi masalah serangan jantung (kardiovaskular), kencing manis (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hypertension) dan paras kolestrol darah yang tinggi (hyperlipidaemia).

Ini kerana ramai pesakit didiagnosis menghidapi penyakit kronik tersebut setelah mengadu berkenaan masalah disfungsi ereksi yang terbahagi kepada dua iaitu organik dan psikogenik.

Disfungsi organik berlaku ketika usia lebih daripada 40 tahun dan ianya boleh disebabkan oleh faktor seperti kerosakan saraf atau saluran membekalkan darah kepada zakar, pembedahan pelvis, ketidakseimbangan hormon serta komplikasi ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.

Manakala disfungsi psikogenik pula berlaku kepada setiap lelaki dalam sepanjang hidupnya namun begitu fungsi ereksinya tidak rosak secara fizikal tetapi tidak mendapat ereksi dalam keadaan tertentu disebabkan keadaan seperti penat, tertekan, pengambilan alkohol berlebihan dan mempunyai masalah dalam perhubungan.

Masalah ejakulasi pramatang yang didefinisikan sebagai satu keadaan lelaki yang terlalu cepat memancutkan air maninya serta tidak dapat mengawal ejakulasi tersebut.

Tahap hormon tertentu dan sensitiviti berlebihan pada alat sulit menjadi faktor biologi yang mempengaruhi ejakulasi pramatang dan dalam keadaan tertentu ia menganggu proses ejakulasi seperti perubahan kelenjar prostat, arteriosklerosis, diabetes dan gangguan neurologi selain turut dikaitkan dengan penyakit tiroid.

Dianggarkan hanya 35 hingga 40 peratus lelaki yang mendapatkan rawatan bagi masalah seksual menghadapi ejakulasi pramatang, malah ada yang begitu serius iaitu belum sempat memulakan hubungan kelamin tetapi sudah mendapat ejakulasi.

Keadaan psikologi juga boleh menyebabkan ejakulasi pramatang seperti mahu cepat menamatkan hubungan kelamin kerana kebimbangan terhadap perkara seperti perlakuan tersebut akan terbongkar, tempat atau situasi yang tidak sesuai selain seks terlarang dengan pasangan yang tidak sah.

Masalah-masalah ini perlu diberi perhatian untuk memastikan keharmonian dan ketenteraman dalam sesebuah rumah tangga akan terus berpanjangan.