Warga Malaysia Ditahan Dalam Rampasan Heroin Terbesar Di Australia

Seorang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia dalam satu rampasan penghantaran heroin terbesar dalam sejarah negara itu bernilai kira-kira A$140 juta (RM431 juta).

Suspek lelaki tersebut ditahan berhubung kesalahan mengimport dadah berkenaan, yang dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

Polis Australia mengeluarkan kenyataan bahawa dadah seberat 450 kilogram (kg) atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diiktiraf mengandungi jubin seramik.

Polis tidak menamakan lelaki yang ditahan itu, seperti mana amalan biasa di Australia, kecuali jika membabitkan pendedahan identiti suspek dianggap memiliki kepentingan pada keluarga mangsa atau masyarakat.

Menurut polis, suspek didakwa mengimport dan cuba memiliki dadah kawalan dalam kuantiti komersial, yang mana penalti maksimum bagi kesalahan itu adalah penjara seumur hidup.

Pesuruhjaya Pemerintah Selatan Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett, memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami meneruskan kerjasama bagi mengenal pasti dan menggagalkan sindiket jenayah terancang rentas sempadan yang cuba mengancam kedua-dua negara.

“Mereka ini mengaut keuntungan jutaan dolar daripada kegiatan jenayah seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis Australia menganggarkan rampasan heroin itu berjaya menyelamatkan 225 nyawa, berdasarkan unjuran terdapat satu kematian dalam komuniti Australia bagi setiap dua kg heroin yang digunakan.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengeluarkan kenyataan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang warga Malaysia yang disyaki menyeludup dadah di negara berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Razarudin Husain berkata, semua tindakan perlu akan diambil JSJN dalam memastikan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras tanpa kompromi.

Netizen Malaysia mempersoalkan bagaimana heroin seberat itu boleh melepasi pelabuhan Malaysia dan hanya dapat dikesan di Australia? Adakah terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes ini? Kerajaan Malaysia perlu membersihkan barah rasuah ini sebelum ia menghancurkan negara dan rakyatnya.