8 Sikap Rasulullah S.A.W, Lelaki Patut Contohi

Allah s.w.t mengutuskan Rasulullah s.a.w kepada umat manusia khususnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang ada pada diri manusia.

Hal ini berdasarkan firman Allah dalam ayat 21 Surah Al Ahzab iaitu; “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT ketika susah dan senang.”

Hal ini turut disokong sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad iaitu; “Aku diutuskan (oleh Allah) hanyalah untuk menyempurnakan akhlak.”

Menurut bahasa, perkataan akhlak atau dalam bahasa Arab ‘khulqu’ bermaksud perangai, tabiat, budi dan tabiat. Ia terbahagi kepada dua, iaitu akhlak mahmudah (terpuji, baik) dan akhlak mazmumah (keji, buruk, tercela).

Akhlak merupakan salah satu faktor utama bagi mengukur kesempurnaan iman seseorang hamba, seperti yang disabda oleh baginda s.a.w; “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.”

Lalu, bagaimana cara kita terutamanya kaum lelaki dapat memiliki akhlak yang terbaik iaitu tingkah laku yang diredhai Allah s.w.t. adalah dengan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w.

1.Siddiq (Benar)
Firman Allah swt dalam surah An-Najm yang bermaksud; “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.” (53:3) Dan seterusnya, “Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (53:4). Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidak pernah berbohong. Baginda mengucapkan perkara yang benar sahaja.

2.Amanah
Rasulullah tidak pernah mengkhianati sesiapa pun dan apabila diberikan tanggungjawab terhadap satu perkara, baginda pasti akan menjaga amanah tersebut dengan baik. Sifat amanah Nabi dalam perniagaan dikenali ramai kerana Nabi tidak pernah menipu dalam urusan jual beli. Kejujuran baginda membuatkan isteri baginda, Khadijah seorang usahawan yang berjaya meletakkan kepercayaan kepada Nabi untuk menguruskan perniagaannya.

3.Tabligh (Menyampaikan)
Nabi Muhammad s.a.w melaksanakan tugasnya iaitu menyampaikan wahyu dan petunjuk Allah kepada umat Islam. Baginda tidak menyembunyikan perkara tersebut hanya untuk dirinya. Sebaliknya, baginda menyebarkan setiap perkara yang telah diajarkan kepadanya untuk seluruh umatnya. Begitu jugalah umatnya perlu menyampaikan kebenaran daripada Allah dan Rasul kepada orang lain.

4.Fatanah (Bijaksana)
Rasulullah s.a.w memiliki kebijaksanaan dari segi emosi dan fikiran, khususnya dalam menyampaikan dakwah baginda kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, jantina, status, umur dan gelagat. Para lelaki perlu mencontohi kebijaksanaan Nabi dalam mengendalikan kehidupan peribadi dan profesional selaras dengan kehendak syariat.

5.Penyayang
Dari Anas bin Malik, beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Sahabat Rasulullah menggertaknya, tetapi Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu mengganggunya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka, sahabat membiarkan orang Arab Badwi itu sehingga dia selesai kencing. Selepas itu, Rasulullah memanggil lelaki berkenaan dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.” Selepas itu, Nabi memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.

6.Pemurah
Pada suatu hari datang seorang lelaki kepada Baginda saw dan meminta sesuatu daripada baginda. Baginda memberikan orang itu kambing yang banyak sehingga memenuhi antara dua gunung. Orang ini kembali kepada kaumnya dan berkata:”kawan-kawan, silalah kamu semua masuk ke dalam agama islam. Sebab Muhammad itu bila memberikan sesuatu pemberian, Baginda memberikan semuanya sekali seakan-akan Baginda tidak takut akan jatuh miskin dengan pemberiannya itu. Tidak pernah Baginda diminta sesuatu kemudian Baginda menjawab:”Tidak”.

7.Pemaaf
Satu kisah Rasulullah SAW diludah oleh kaum kafir Quraisy ketika hendak pulang dari masjid selepas selesai menunaikan solat, namun baginda tidak pernah membalasnya. Satu lagi peristiwa berlaku di Taif di mana Rasulullah SAW dalam usahanya mengembangkan Islam. Disebabkan penduduk Makkah menolak usaha dakwah yang disampaikannya, baginda berusaha pula mengajak penduduk Taif kepada Islam. Usaha Nabi SAW bukan hanya ditolak, tetapi ditentang dan dibaling batu oleh pemuda Bani Thaqif sehingga kaki baginda berdarah. Bagaimanapun, Rasulullah SAW tetap mendoakan mereka supaya mendapat pengampunan Allah SWT walaupun ditawarkan Malaikat Jibrail untuk membinasakan mereka.

8.Setia
Walaupun Nabi Muhammad s.a.w. mengamalkan poligami, amalan itu hanya dilakukan selepas isteri pertama baginda, Khadijah meninggal dunia. Kesetiaan Rasulullah kepada Khadijah terbukti selama 25 tahun perkahwinan mereka, Khadijah menjadi satu-satunya isteri baginda. Kesemua isterinya yang dimadukan adalah berlaku selepas daripada wafatnya Khadijah yang mengikut wahyu daripada Allah sebagai sebahagian daripada dakwah Islam.

Mudah-mudahan, melalui pengamalan sikap Rasulullah ini, kita dapat menjadi khalifah yang meneruskan kesinambungan dakwah Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan rahmat buat sekalian alam.