6 Filem Rompakan Yang Menarik Ditonton

Filem mengenai rompakan antara filem digemari penonton kerana jalan cerita yang saspen dengan pelbagai teknik penceritaan. Adakalanya filem genre ini menyajikan ‘plot twist’ yang mengejutkan penonton pada akhir cerita. Berikut 6 senarai filem mengenai rompakan pilihan penulis.

1.The Town (2010)
Empat sekawan sejak zaman kanak-kanak berpakat merompak sebuah bank dan kerani bank itu yang menjadi tebusan dilepaskan dengan selamat. Claire telah melihat tatu dileher James sewaktu rompakan itu tetapi Claire tidak berani mendedahkannya kepada pihak berkuasa yang menyiasat kes itu. Ketua perompak bernama Dough mengekori Claire untuk mengetahui adakah Claire memberi maklumat tentang mereka kepada pihak berkuasa. Mereka berdua jatuh cinta dan menjadi pasangan kekasih. Claire tidak pernah tahu bahawa Dough adalah penjenayah yang merompak bank tempat dia bekerja.

2.Inside Man (2006)
Dalton bersama kumpulannya merompak sebuah bank dan menjadikan semua orang yang berada di dalam bank tersebut sebagai tebusan. Detektif Keith memulakan rundingan untuk membebaskan semua tebusan namun rundingan berjalan begitu perlahan. Tindak tanduk pemilik bank, Arthur mencurigakan dan Detektif Keith merasakan ada perkara lain yang lebih rumit tersembunyi di sebalik rompakan itu.

3.The Italian Job (2003)
Seorang perompak bernama Charlie berjaya merompak emas dari tempat yang dikawal sangat rapi dan ketat di Venice, Itali. Namun hasil rompakan Charlie dicuri salah seorang daripada rakan-rakan yang bersamanya dalam rompakan. Bersama rakan-rakan lain, Charlie membuat rancangan membalas dendam terhadap pengkhianatan itu. Mereka berpakat untuk mencuri kembali emas tersebut dengan cara mengganggu aliran lalu lintas di jalan raya Los Angeles.

4.Lock, Stock And Two Smoking Barrels (1998)
Empat lelaki muda kalah dalam perjudian selepas mempertaruhkan semua wang mereka. Mereka juga berhutang setengah juta pound sterling kepada pemilik kelab judi itu. Jika hutang itu tidak dibayar, kafe bar kepunyaan keluarga salah seorang pemuda itu akan dirampas. Dalam masa sama, mereka mengetahui jiran mereka adalah ahli kumpulan perompak. Kerana terdesak mereka merancang pula untuk merompak jiran mereka.

5.The Usual Suspects (1995)
Sekumpulan perompak dimasukkan ke penjara pada waktu yang sama kerana tuduhan merompak trak yang penuh dengan senjata. Tapi mereka dibebaskan kerana polis tiada bukti kukuh mereka terlibat dalam jenayah itu. Kerana marah dimalukan pihak polis, mereka merancang satu operasi balas dendam di samping rompakan batu permata yang berjalan lancar. Misi balas dendam dan rompakan itu menyebabkan kematian 27 orang dalam letupan di pelabuhan. Siapakah yang menjadi dalang dan mendapat untung daripada kejadian itu?

6.Reservoir Dogs (1992)
Satu kumpulan yang saling tidak mengenali satu sama lain cuba merompak sebuah kedai berlian. Seorang ketua mafia bernama Joe dan anaknya, Eddie merekrut individu yang tidak mengetahui latarbelakang ahli kumpulan yang lain. Strategi itu dibuat untuk menjaga kerahsiaan dan menghalang kemungkinan berlakunya pengkhianatan. Semua anggota kumpulan diwajibkan memakai nama samaran semasa menjalankan misi rompakan.