Edisi Siasat Tuduh Sindiket Judi Haram Bayar MB Selangor

Satu akaun Twitter dengan nama @edisi_siasatmy menuduh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menerima imbuhan bulanan daripada sindiket judi haram yang dikatakan beroperasi di negeri itu.

Adun Sungai Tua itu menjawab dakwaan pemilik akaun berkenaan yang mengatakan dia mendapat bayaran bulanan sebanyak RM150,000 daripada sindiket judi haram di mana wang itu digunakan untuk membiayai kegiatan politik.

“Berhubung tuduhan mengaitkan saya menerima bayaran bulanan dari sindiket judi haram, saya menafikan dakwaan ini yang tidak mempunyai asas sama sekali. Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut,” kata Amirudin dalam satu kenyataan.

Penafian Amirudin mendapat perhatian pemilik akaun Twitter @ edisi_siasatmy yang menulis bahawa jawapan Amirudin itu sudah dijangka, namun meminta rakyat Selangor melihat sendiri kegiatan judi haram di kawasan mereka.

“ES (Edisi Siasat) memang tahu dia akan nafi tapi wahai rakyat Selangor, lihat kawasan anda dan tanya diri anda dengan jujur ada ke tak pusat judi di kawasan anda yang masih jalan? Kalau makcik tua berniaga tepi jalan tanpa lesen cepat penguatkuasa sampai tapi kenapa korang tak nampak pusat-pusat judi ini?” soalnya.

Selain Amirudin, @edisi_siasatmy juga mendakwa terdapat pegawai kanan polis, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melindungi penjenayah dan sindiket judi haram.

Sejak September pentadbir akaun Twitter berkenaan mensasarkan pelbagai agensi pihak penguatkuasa, yang dikatakan menerima rasuah dan melindungi kegiatan jenayah. Pemilik akaun itu mendakwa maklumat disalurkan dari sumber dalaman.

Antara kes yang didedahkan adalah kehilangan wang tunai AS $ 6.94 juta yang disita pegawai SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Namun pihak polis menegaskan tiada laporan dibuat secara rasmi mengenai kehilangan wang berkenaan. SPRM kemudiannya mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari untuk membantu siasatan terhadap tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Berikutan penafian Amirudin, Pusat Informasi Negeri Selangor (PINS) sebagai wakil kerajaan berkata pihaknya menunggu penafian serupa daripada pihak lain yang nama mereka dinamakan oleh akaun Twitter berkenaan.