Remaja Cipta ‘Kasut Pintar’ Untuk Orang Buta

Seorang remaja berusia 17 tahun di Pakistan berjaya mencipta mencipta ‘kasut pintar’ yang menolong individu kurang upaya penglihatan dapat berjalan dan mengesan halangan di hadapan mereka menerusi bunyi atau getaran dalam radius 120 sentimeter (cm).

Menurut laporan laman sesawang Technologistan.pk, remaja yang bernama Wasiullah itu mula menceburi dunia inovasi apabila belajar memperbaiki bateri dan barang mainan rosak.

Wasiullah berkata, orang buta tidak lagi memerlukan tongkat untuk berjalan dengan kasut pintar yang dipasang dengan alat sensor ultrasonik.

Selain projek kasut pintar, dia juga mempunyai beberapa projek lain yang sedang berjalan, antaranya membina robot dan alat komunikasi cahaya lutsinar bagi memindahkan data.

Muhammad Farooq guru Fizik remaja itu, Wasiullah adalah pelajarnya yang paling cemerlang dan pernah merancang untuk menghasilkan kerusi roda baru dengan alat pandu arah, tetapi rancangannya terbantut kerana masalah kewangan.

Gurunya yakin Wasiullah mempunyai potensi untuk menjadi saintis yang hebat jika dia diberi bimbingan dan peluang untuk mengembangkan bakat serta memperkenalkan ciptaannya di pasaran.

Wasiullah berkata, sepasang kasut pintarnya hanya menelan belanja sekitar AS$26 (RM108), tetapi dia tidak akan dapat membiayai pengeluarannya sendiri kerana perlu menanggung pengajiannya di kolej.

Kasut pintar untuk orang kurang daya penglihatan ada dijual di pasaran luar negara namun harganya mahal. Oleh itu kerajaan mesti menjayakan projek ini secara komersial kerana kasut yang dibuat oleh Wasiullah lebih murah.

Sementara itu, ciptaan Wasiullah mendapat perhatian dari kerajaan Pakistan melalui Ketua Pengarah Sains dan Teknologi, Sajid Shah.

Dia berkata kerajaan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan Wasiullah bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan memulakan pengeluaran kasut pintar itu dalam skala besar.