Fauzi Nawawi Dikecam Kerana Terlanjur Malukan Raja Farah

Fauzi Nawawi, pelakon yang terkenal dengan pelbagai watak jahat, dikecam hebat warganet kerana terlanjur memalukan Raja Farah yang pernah berlakon bersamanya.

Sedutan video memaparkan dia bercerita secara terperinci babak ‘panas’ lakonannya bersama Raja Farah dalam satu rancangan televisyen, tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat reaksi Fauzi yang begitu teruja memberitahu dia menyukai watak sebagai perogol dalam filem Anak Halal.

Babak panas yang dimaksudkan adalah adegan dia merogol Raja Farah namun adegan terbabit telah dibuang daripada filem berkenaan atas permintaan ibu bapa Raja Farah sebelum tayangan.

Aktor itu turut menimbulkan kemarahan netizen apabila berkata beliau terpaksa menahan dua perkara iaitu nafsu dan juga penat ketika rakaman adegan tersebut.

Perkongsian jijik Fauzi mengundang kemarahan orang ramai dan rata-rata warganet tertanya bagaimana perkongsian beliau lulus untuk siaran umum.

Selepas video itu tular di Twitter, suami Raja Farah memberikan respons dengan menyifatkan program yang pernah disiarkan di televisyen itu tidak wajar dan salah dari setiap sudut.

Beliau berpendapat mereka seolah-olah tidak sensitif mengenai soal kehormatan wanita apalagi pihak yang menjadi topik perkongsian tersebut sudah pun berkahwin.

Sebagai seorang suami, beliau jelas kecewa mendengar ungkapan itu yang disifatkan seumpama ‘orang jahil’.

Tambah beliau lagi, pelakon Budak Tebing 2 itu tidak akan mengeluarkan kata-kata sedemikian kepada ahli keluarganya sendiri.

Netizen juga berasa malu mendengar perkongsian tersebut kerana ia tidak patut dijadikan bahan cerita dan berasa simpati kerana ‘aib’ Raja Farah yang sudah berhijrah dibuka begitu sahaja.

Fauzi seharusnya menghormati permintaan keluarga Raja Farah ketika itu kerana telah dipinta untuk memadam adegan terbabit demi menjaga maruah dan sewajarnya tidak menceritakannya di khalayak ramai.

Setelah video itu tular, Fauzi Nawawi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon Raja Farah. Menurutnya, dia langsung tidak berniat untuk memalukan sesiapa dan mengaku apa yang berlaku adalah kesalahan sendiri.

“Apa pun saya mengaku memang salah saya, saya jahil, saya tidak baik dan sedang memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Buat mereka yang amat sensitif dan terkesan kerana video tersebut, suami Raja Farah, saya mohon maaf dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Memang saya tiada niat langsung untuk memalukan sesiapa, kepada Raja Farah dan keluarganya, saya minta maaf,” kata Fauzi dalam nada kesal.

Warganet mengatakan kejadian tersebut adalah petunjuk jelas kepada budaya lucah yang kronik di kalangan masyarakat Melayu Islam terutamanya lelaki di Malaysia.