Kerjasama Kapal Selam Australia – AS; Indonesia Malaysia Bimbang

Indonesia menzahirkan kegusaran bersama Malaysia terhadap keputusan Australia bekerjasama dengan AS membina kapal selam berkuasa nuklear sebagai aset negara itu.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata Indonesia bimbang keputusan Canberra akan menimbulkan persaingan kuasa dari segi persenjataan nuklear di Asia Tenggara.

Langkah di bawah AUKUS, satu pakatan keselamatan di antara Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain dikhuatiri memberi kesan negatif kepada negara-negara serantau.

Retno menegaskan bahawa perkembangan ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak dan Indonesia bersama Malaysia bersetuju bahawa usaha untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan mesti diteruskan di Laut China Timur dan Selatan.

Pelan cadangan kapal selam nuklear

Di bawah perjanjian itu, dengan menggunakan kepakaran AS, Australia akan membina sekurang-kurangnya lapan kapal selam berkuasa nuklear, sekali gus membatalkan kontrak kapal selam elektrik diesel dengan Perancis.

Australia dilaporkan sudah melihat beberapa rekaan kapal selam daripada Amerika Syarikat dan Britain yang akan menyertai kumpulan kapal selam elit dua negara itu.

Menurut pakar pertahanan, kapal selam nuklear akan membolehkan Australia menjalankan rondaan lebih jauh dan memberikan sekutunya penguasaan ketenteraan yang lebih kuat di kawasan Laut China Selatan.

Laluan perkapalan penting itu membawa komoditi berjumlah bertrilion dolar atau sekitar satu pertiga perdagangan dunia.

Namun Filipina sebagai sekutu utama pertahanan AS, menyokong pembentukan AUKUS sambil mengatakan ia menawarkan keseimbangan yang diperlukan terhadap China yang semakin kerap menceroboh perairan serantau.

Perbandingan kekuatan aset laut China, AS, Britain dan Australia