Pelabuhan Tanjung Pelepas Jadi Transit Seludup Syabu Dari Guatemala

Apa nak jadi dengan Malaysia? Bakal jadi Mexico baru? Satu sindiket dadah antarabangsa terbongkar selepas pemeriksaan rapi pihak berkuasa di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Sabtu lalu.

Sindiket tersebut menyembunyikan 398.2 kilogram (kg) syabu berjumlah RM14.33 juta di dalam kontena berisi ratusan guni kopi.

Pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari Guatemala di PTP, Iskandar Puteri membawa kepada penemuan 14 guni berisi syabu, diselitkan dalam kontena berisi 100 guni biji kopi.

Penemuan syabu dalam kontena itu adalah hasil perkongsian maklumat Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA), yang memaklumkan kontena itu disyaki membawa muatan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata sindiket itu menjalankan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut dari luar negara.

Mereka menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diseludup keluar ke negara ketiga dengan mengisytiharkannya sebagai barangan sah dieksport.

Bagi kes ini, dadah jenis syabu itu ditemui dalam kontena yang membawa muatan 100 guni biji kopi dari Guetamala dengan Filipina sebagai destinasi akhirnya. Bagi mengelakkan ia dikesan, bungkusan syabu itu disembunyikan dalam guni bersama serbuk pencuci bagi mengelakkannya daripada dikesan pihak berkuasa.

Menggunakan alat imbasan ‘backscatter’, hasil imbasan kontena yang dibuat dikesan terdapat perbezaan dalam imejan barangan yang diisytihar, dan ia disyaki sebagai kontraban atau dadah.

Setakat ini tidak ada tangkapan dibuat susulan rampasan dadah itu. PDRM bekerjasama dengan polis antarabangsa sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket berkenaan.

Seperti yang diketahui, Guatemala bukanlah negara pengeluar dadah, namun negara itu terletak di selatan Mexico, negara pengeluar kokain dan syabu terkenal.

Kontena itu dibawa dari Guatemala sebelum berpindah kapal melalui Panama, Shanghai, China; Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan destinasi akhirnya adalah Manila, Filipina.

Siasatan masih giat dijalankan dengan bantuan polis antarabangsa bagi membantu mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Difahamkan kes ini tidak mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan dadah terbesar di Australia yang membabitkan rakyat Malaysia.