Pemain Malaysia Rangkul Naib Johan Di ‘The International Dota 2 Championship’

Seorang rakyat Malaysia, Cheng Jin Xiang membawa nama negara ke persada dunia dalam sukan e-game dengan memenangi tempat kedua di kejohanan The International 10 Defense of the Ancients (Dota 2).

Kemenangan sebagai naib juara kejohanan e-sukan berprestij di Romania itu menyaksikan mereka membawa pulang AS$5.2 juta yang bakal dikongsi bersama lima pemain.

Menggunakan nama samaran ‘NothingToSay’, Jin Xiang yang berumur 20 tahun, mewakili pasukannya yang berpangkalan di China, PSG.LGD.

Mereka kalah kepada pasukan Team Spirit dari Moscow dalam pertandingan yang berlangsung pada 17 Oktober lalu.

Muhammad Farouq Abdul Patah, Pengarah Perhubungan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia berkata, kejayaan mendapat naib johan dalam pertandingan antarabangsa bukanlah satu perkara mudah.

Ia merupakan pengalaman pertama Jin Xiang bertanding di peringkat antarabangsa dan Malaysia patut berbangga dengan pencapaian beliau.

The International 10 Defense of the Ancients (Dota 2) adalah kejohanan e-sukan yang menawarkan hadiah tertinggi dalam sejarah dengan AS$40 juta (RM166 juta).

Jumlah wang kemenangan itu setanding dengan kejohanan tenis Grand Slam, Wimbledon dan 10 kali lebih banyak daripada jelajah berbasikal, Tour de France.

Selain itu, dua lagi rakyat Malaysia, Thiay Jun Wen dan Chan Chon Kien yang mewakili kelab berpangkalan di China, Invictus Gaming menduduki tempat keempat, sekali gus memenangi AS$2.4 juta (RM10 juta).

Seorang lagi peserta dari Malaysia, Ng Kee Chyuan bermain untuk pasukan Fnatic yang berpangkalan di United Kingdom terikat di kedudukan kesembilan hingga 12, memenangi AS$800,400 (RM3.3 juta).

Muhammad Farouq berkata kejayaan para pemain boleh menjadi inspirasi kepada usaha kerajaan terutama Kementerian Belia dan Sukan yang menunjukkan minat terhadap e-sukan.

Bagaimanapun, dia merasa lebih banyak usaha yang perlu dilakukan bagi membantu pemain-pemain e-sukan Malaysia untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

Para pemain dari Malaysia lebih banyak mendapat sokongan daripada organisasi luar negara yang menyediakan mereka gaji bulanan, elaun perjalanan, dan latihan serta peralatan bermutu tinggi.

‚ÄúPihak kami berharap dapat menjadi penghubung di antara kementerian dan pihak-pihak berkaitan terutamanya untuk memberi sokongan yang sama kepada pemain e-sukan tempatan,” tambah Muhammad Farouq.

Dalam laporan akhbar, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa e-sukan akan menerima peruntukan di bawah Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29hb Oktober.

Bidang e-sukan setakat ini sudah menerima peruntukan bagi tiga tahun berturut-turut iaitu, RM15 juta di bawah Belanjawan 2021, RM20 juga dalam Belanjawan 2020 dan RM10 juta dalam Belanjawan 2019.