50an – Usia Terbaik Wanita Nikmati Hubungan Intim

Ramai kaum lelaki terutamanya, merasa bimbang apabila isteri mereka semakin meningkat usia kerana dikatakan kononnya wanita yang berumur tidak mampu memberi layanan intim seperti wanita muda.

Namun, satu kajian terbaharu mendapati bahawa lebih separuh wanita berusia 50 tahun dan ke atas mengaku bahawa hubungan kelamin mereka bertambah baik seiring dengan peningkatan usia.

Dalam kajian meluas di Britain itu, wanita berusia memberikan petua kehidupan kepada generasi wanita muda.

Majoriti daripada mereka memaklumkan bahawa umur 53 tahun merupakan usia terbaik untuk menikmati hubungan intim.

Ini kerana, mereka sudah mempunyai banyak pengalaman dalam hal perhubungan dan seksual yang memberi kelebihan berbanding wanita muda yang ingin dimanjakan.

Wanita berumur juga lebih tenang dan sabar melayani pasangan yang membawa kepada kepuasan dalam keintiman.

Namun wanita-wanita veteran itu juga memberi peringatan bahawa ‘kesempurnaan’ dalam perhubungan adalah suatu perkara yang sukar untuk dicapai.

Sebagai manusia, setiap perhubungan pasti mempunyai kelemahan dan kekurangan, namun ia boleh diterima jika pasangan saling memahami dan mencintai.

Sokongan moral, emosi dan fizikal daripada pasangan adalah perkara yang membantu hubungan intim menjadi lebih menyeronokkan bagi wanita berusia.

Mereka turut menasihatkan wanita muda supaya sentiasa menghargai perkara-perkara kecil dalam hidup, menyayangi diri sendiri serta mempercayai naluri mereka.

Kajian yang dijalankan terhadap 1,500 wanita itu mendapati 27 peratus daripada responden menjelaskan bahawa wanita hilang nafsu syahwat apabila menopaus sebagai ‘mitos’ semata-mata’.

Perunding ginekologi Hospital Wanita Liverpool, Dr. Paula Briggs berkata, beliau teruja dengan penemuan itu kerana ia memberikan harapan kepada wanita yang bakal dan sudah melalui fasa menopaus.

Menurutnya, fasa menopaus iaitu proses haid berhenti secara kekal yang mempengaruhi hormon mereka termasuk hormon seksual pasti dilalui semua wanita.

Fasa ini tidak harus ditakuti, sebaliknya boleh menjadi perkara yang positif dan permulaan kepada kehidupan baru bagi mereka.

Bagi pasangan terutamanya suami, tidak perlu gusar dengan pertambahan umur isteri, sebaliknya perlu bersikap pro-aktif dan kreatif dalam menghangatkan hubungan romantik.