Khaled – Batu Puteh; Mahathir Tak Jawab Soalan Sebenar

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir berhubung Batu Puteh sebagai tidak menjawab persoalan sebenar tentang isu itu.

Menurutnya, Mahathir perlu menyatakan sebab sebenar mengapa semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh.tidak diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Langkawi itu perlu mendedahkan apakah nasihat yang diterima dan siapakah yang menasihati beliau dalam konteks bukti baru yang ditemukan.

Khaled menulis, “Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017.”

“Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut.”

Dua daripada bukti baru yang ditjumpai itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses selepas 2008 iaitu secara undang-undang apabila tempoh kerahsiaan tamat dan Mahathir sudah tentu mengetahuinya.

Dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menganggap Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Singapura.

Manakala dokumen kedua menunjukkan Tentera Laut British memperakui perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.

“Melalui dokumen terakhir pula memaparkan peta-peta operasi Tentera Laut British yang menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh. Semua dokumen tersebut dengan jelas menunjukkan pulau berkenaan tidak berada dalam wilayah republik itu.

“Sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia. Jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan proses semakan tersebut.”

Dalam konteks tersebut, jelas menunjukkan kerajaan PH telah cuai dalam tindakan mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawab ke atas tindakan culas tersebut.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi mempersembahkan taklimat mengenai Pulau Batu Puteh.

Sehari sebelum itu, Mahathir menulis 24 Jawapan Mahathir Tentang Batu Puteh Kepada Sultan Johor kepada tuntutan Sultan Johor di laman sesawang peribadinya, chedet.cc/.