Kisah ‘Robin Hood Palestin’

Robin Hood merupakan satu kisah rakyat Inggeris mengenai seorang penjenayah zaman silam di Britain yang merompak orang kaya dan mendermakan hasil rompakannya kepada orang miskin.

Namun ada satu kisah Robin Hood moden yang benar berlaku pada tahun 2013 apabila seorang graduan komputer sains kelahiran Algeria merompak 200 bank dan mendermakan kepada rakyat Palestin.

Hamza Bendelladj menggunakan virus komputer untuk mencuri wang daripada 217 bank dan syarikat kewangan di Amerika Syarikat dan memperolehi lebih daripada 5 bilion dolar.

Namun hasil rompakan berjumlah jutaan dolar itu didermakan kepada pertubuhan kerja-kerja amal di Palestin dan juga Afrika.

Bersama Aleksandr Andreevic Panin, Hamza didakwa antara pencipta bersama virus “Trojan Horse” dan “SpyEye” yang tersebar dari tahun 2009 sehingga 2011, yang telah menjangkiti 1.4 juta komputer di seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai akses langsung kepada berjuta-juta mangsa merentas sempadan dengan menjalankan kempen e-mel, menanam perisian “jahat” di laman web yang popular dan banyak lagi.

Dikenali di alam maya dengan nama samaran ‘Bx1’, Hamza ditangkap pihak berkuasa Thailand di negara itu pada tahun 2013 selepas berjaya menyembunyikan diri selama tiga tahun.

Dia dituduh atas 10 kesalahan penipuan transaksi, satu kesalahan berkomplot untuk melakukan penipuan komputer dan penyalahgunaan, dan 11 tuduhan penipuan komputer dan penyalahgunaan.

Hukuman yang bakal diterimanya adalah 60 tahun penjara dan denda sebanyak $24 juta dolar, namun hukumannya diringankan kerana dia bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan AS.

Hamza akhirnya mengaku bersalah atas semua tuduhan dan menerima hukuman penjara selama 15 tahun. Rakan penggodamnya dari Rusia, Aleksandr Andreevic Panin turut mengaku bersalah pada 2014 dan dipenjarakan selama 9 tahun.

Akhbar menggelarkannya sebagai “Penggodam Gembira” kerana sering membiarkan gambarnya diambil dalam keadaan tersenyum ketika di lapangan terbang Suvarnabhumi, Thailand.

Hamza dikenal pasti oleh penguatkuasa undang-undang AS selepas dikatakan menjual salinan virus SpeEye kepada pegawai yang menyamar dengan harga AS$8,500.

Pihak berkuasa AS menyalahkan Hamza dan pengguna SpyEye sebagai bertanggungjawab membina jaringan besar komputer dikenali sebagai ‘botnet’ yang boleh digunakan untuk menggodam maklumat kewangan dan peribadi.

Kisah Hamza menjadi tular kerana tersebarnya khabar angin bahawa dia bakal berdepan dengan hukuman mati untuk jenayah siber itu.

Pihak berkuasa juga tidak dapat mengesahkan kebenaran sama ada Hamza mendermakan hasil curiannya itu kepada pertubuhan amal di Palestin dan Afrika.

Buat masa ini, Hamza dan Aleksandr sedang menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat sejak tahun 2013.