Siapa Lelaki Pada Botol Arak ‘TIMAH’?

Baru-baru ini tular isu pelancaran arak dengan nama TIMAH (baca; Arak ‘TIMAH’ Selamat Dilancarkan, PAS Sibuk Dengan Kolam Renang Dan Baju Ketat). Selain nama TIMAH yang menjadi bantahan ramai pihak kerana nama itu dekat di hati masyarakat Islam dan Melayu khususnya, imej lelaki berkopiah pada botol arak itu turut dibahaskan.

Menerusi bacaan di laman sosial, gambar lelaki yang menjadi lambang jenama arak itu adalah Kapten Speedy atau nama penuhnya Tristram Charles Sawyer Speedy.

Dia dilahirkan di India kerana bapanya bertugas di sana sebagai askar British dan dia mengikut jejak bapanya menjadi askar British di India, New Zealand dan Ethopia.

Perang Larut (1861-1864) antara puak Ghee Hin dan Hai San yang banyak merugikan Ngah Ibrahim menyebabkan dia bertekad untuk melantik Kapten Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di Jajahan Larut Matang.

Tujuan perjawatan Kapten Speedy adalah untuk memodenkan pentadbiran Larut dan menjaga keamanan Larut berikutan Perang Larut yang Pertama dan Kedua.

Jawatan Kapten Speedy sebelum diupah Ngah Ibrahim adalah bekas Pesuruhjaya Polis Pulau Pinang. Ngah Ibrahim menawarkan gaji bulanan sebanyak $10,000-$15,000 serta berkongsi separuh hasil cukai di Larut.

Kapten Speedy mendapati pasukan polis yang terdiri daripada 40 orang anggota Melayu tidak berkesan. Dia mahukan penubuhan pasukan polis yang lebih mantap dan berjaya mendapat persetujuan pergi ke India bagi merekrut 110 orang Sepoi Sikh dari Punjab.

Pasukan ini dilengkapkan oleh Kapten Speedy dengan senjata moden termasuk 4 laras meriam Krupps. Pasukan polis ini kemudiannya menjadi pasukan Polis Bersenjata Perak (Perak Armed Police) yang berpangkalan di Taiping.

Hubungan Ngah Ibrahim dengan Kapten Speedy cukup rapat hinggakan rumah pegawai Inggeris itu terletak hanya bersebelahan rumah Ngah Ibrahim.

Kapten Speedy juga fasih berbahasa Melayu dan pernah menjadi ketua rombongan Ngah Ibrahim meminang anak Tok Kaya di Klang. Peristiwa ini direkodkan cucu Ngah Ibrahim iaitu Hajah Wan Yahanis binti Wan Mohd Isa.

Hubungan erat dengan Ngah Ibrahim digunakan sepenuhnya Kapten Speedy untuk menyalurkan segala maklumat kekayaan Ngah Ibrahim kepada pihak British. Kapten Speedy telah bertindak sebagai “double agent” untuk British dan Ngah Ibrahim bagi kepentingan dirinya.

Cita-citanya tercapai dengan termeterainya Perjanjian Pangkor, 20 January 1874 yang mana dalam fasal yang ketujuh menyebut “Maka pemerintah Larut itu pun hendaklah ada berapit kepadanya seorang Assistant Resident iaitu seorang besar British yang mengerjakan pekerjaan di bawah Residen Perak itu, dengan sama kuat kuasanya, dan dia itu terperintah oleh Resident yang tersebut itu sahaja.”

Setelah itu Kapten Speedy dilantik sebagai Penolong Residen Perak tetapi jawatan itu hanya dipegang beberapa tahun sahaja, pada 1877 dia dipindahkan ke Durian Sebatang, atas sebab tertentu.

Dia menganggap ini sebagai penurunan pangkat kerana daerah Larut lebih berprestij dan akhirnya meletakkan jawatan pada tahun yang sama.

Akhirnya Kapten Speedy membuat keputusan untuk meninggalkan Perak buat selama-lamanya dan berpindah ke Sudan dan seterusnya kembali ke Ethopia.

Dia menggunakan strategi yg sama untuk rapat dengan Raja Ethopia dan berkhidmat sebagai guru bahasa dan penjaga anak raja di Ethopia.

2800864