Sunnah Yang Dilupakan; Lelaki Berambut Panjang

Mengikut kata ulama dan dari beberapa kajian, menyimpan rambut panjang adalah salah satu daripada sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang menyimpan rambut melebih paras bahu, namun amalan itu kini dipandang serong oleh masyarakat.

Orang zaman dahulu kala dikatakan menyimpan rambut panjang kerana ia dapat dijadikan perisai sewaktu perang. Apabila pedang menetak leher yang tidak dialas rambut, kemungkinan ia terus terpancung adalah tinggi.

Dengan mempunyai rambut panjang, ia menjadi satu perisai untuk mempertahankan leher daripada dipancung dengan mudah. Disebabkan itu, tentera Islam pada zaman silam semuanya berambut panjang.

Sebab kedua kenapa tentera Islam dahulu menyimpan rambut panjang adalah supaya menimbulkan rasa takut kepada pihak musuh. Ia adalah antara “psychological counter attack” atau perang saraf sebelum perang fizikal yang sebenar bermula.

Tentera Jerman pada Perang Dunia Pertama juga menggunakan cara ini untuk menakut-nakutkan musuh dengan mengenakan topi perang yang mempunyai tanduk satu.

Orang yang memperkenalkan amalan berambut pendek dalam masyarakat lelaki zaman moden adalah bangsa Yunani.

Propaganda mengenai rambut panjang adalah penjenayah, penjahat, pengikut syaitan dan pelbagai imej negatif lain disebarkan oleh bangsa Yunani sendiri untuk memburukkan reputasi tentera Islam.

Dakyah ini akhirnya secara beransur-ansur tersebar ke seluruh dunia dan menjadi ikutan hampir semua bangsa dan agama temasuk umat Islam dan bangsa Melayu.

Malangnya ada umat Islam dan bangsa Melayu sendiri membenci praktis lelaki berambut panjang. Mereka memberi alasan menghina kenapa Nabi dan lelaki Muslim zaman silam menyimpan rambut panjang.

Antara kononnya alasan yang diberi adalah bahawa gunting belum wujud pada zaman Nabi s.a.w. dan zaman Hang Tuah. Disebabkan mereka hanya menggunakan pisau batu, mereka tidak dapat menggunting rambut dengan pendek dan kemas.

Imam Ahmad ada menulis tentang sunnah berambut panjang di dalam kitab Al-Mughni; “Dan rambut manusia itu disukai seperti gaya rambut Nabi s.a.w, apabila panjang sampai ke bahu. Apabila pendek sampai ke cuping telinganya, kalau dipanjangkan tidaklah mengapa”.

Perbuatan menyimpan rambut panjang tidak bercanggah dengan syariat Islam selagi tiada sebarang niat untuk menyerupai orang kafir atau wanita.

Pastinya menocang, mengikat dan menggayakan rambut seperti kaum perempuan atau bukan Islam, bukan daripada sunnah Nabi s.a.w. yang sebenar. Jika berbuat demikian maka hukum menyimpan rambut panjang lelaki menjadi haram.

Diolah dari: FB Kisah Sejarah Melayu #rakangroup