Bagaimana ‘Salah Effect’ (Kesan Salah) Mengurangkan Islamofobia Di Britain

Sempena meraikan gol hatrik Mo Salah menewaskan Manchester United dengan 5-0 semalam, penulis ingin berkongsi satu kajian Universiti Stanford mengenai pengaruh bintang Liverpool itu terhadap Islamofobia di Britain.

Mo Salah atau nama sebenarnya Mohamed Salah Hamed Mahrous Ghaly adalah pemain bolasepak profesional kelahiran Mesir yang bermain untuk kelab bolasepak Liverpool dan merupakan kapten pasukan bolasepak kebangsaan Mesir.

Menggunakan data daripada laporan jenayah kebencian di seluruh England dan 15 juta ciapan di Twitter daripada peminat bolasepak British, pengkaji mendapati selepas Mo Salah menyertai pasukan bolasepak Liverpool, jenayah kebencian di Liverpool menurun sebanyak 16%.

Ciapan dan hantaran berkaitan anti-Muslim kepada peminat kelab lain oleh penyokong Liverpool juga berkurangan sebanyak 50%, dipengaruhi imej positif Muslim yang dibawa Salah.

Pada 2018, peminat Liverpool meraikan kemenangan kelab mereka menumpaskan F.C. Porto dengan jaringan 5-0 dalam Liga Kejuaraan U.E.F.A., di mana Salah menjadi tunggak utama kejayaan.

Semasa meraikan kemenangan itu, penyokong Liverpool telah menyanyikan sebuah lagu khas untuk Mo Salah yang diubah suai liriknya daripada irama kumpulan Britain, James, berjudul Sit Down.

If he scores another few
Then I’ll be Muslim, too.
If he’s good enough for you,
He’s good enough for me.
Sitting in a mosque,
That’s where I wanna be.

Mohamed Salah
A gift from Allah,
He came from Roma to Liverpool,
He’s always scoring,
It’s almost boring.
So please don’t take
Mohamed away.

Pendedahan imej Mo Salah yang positif secara berterusan dari media menjadikan peminat Liverpool juga melihat Islam dari sudut yang positif.

Tindakan Mo Salah yang sentiasa mempamerkan identiti Muslimnya dengan bersujud dan berdoa setiap kali menjaringkan gol membuatkan kebencian terhadap Islam menurun.

Mengapa Mo Salah mendapat liputan positif daripada media adalah kerana dia merupakan pemain bola sepak yang hebat.

Imej positifnya sebagai seorang Muslim sebenarnya dibantu oleh prestasi Mo Salah sebagai pemain bola yang cemerlang dan berdisiplin.

Jika reputasinya sebagai pemain bola sepak adalah buruk, identiti Muslim yang positif tidak akan diberi perhatian oleh media seperti Romelu Lukaku dan Mesut Ozil yang pernah mencalarkan identiti masing-masing.

Hubungan baik Mo Salah dengan pemain British yang lain juga turut memberi kesan positif ke atas identiti Muslim yang dibawa Mo Salah.

Media juga gemar membuat liputan positif tentang Mo Salah kerana beliau mengambil pendekatan neutral dalam banyak isu dengan jarang mengulas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam isu politik ataupun sosial.

Selain itu dia juga banyak berjasa kepada kelab berkenaan atas sumbangannya membantu pemain sepasukan menjaringkan gol.