Selepas Zahid, Rosmah Dan Najib, Shafee Pula Dapat Semula Pasport

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan pasport peguam Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah dipulangkan buat sementara sehingga 3 Disember.

Shafee memohon pelepasan untuk ke New York, Amerika Syarikat bagi menguruskan proses pendaftaran anak lelakinya yang menyambung pengajian di sana.

Hakim Muhammad Jamil Hussin meluluskan permohonan itu dan memulangkan pasport Shafee bermula hari ini setelah tiada bantahan dibangkitkan Timbalan Pendakwaraya S. Nithia.

Menurut Jamil, “Selepas mendengar permohonan pemohon dan afidavit sokongan, dan membaca afidavit sokongan, penghujahan dan dengan responden (pendakwaan) tiada bantahan terhadap permohonan, saya benarkannya,”

Shafee menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebahgai sebahagian daripada syarat ikat jamin bagi perbicaraan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut salinan notis usul Shafee, peguam itu meminta akses sementara pasport kerana dia perlu ke New York pada 27 Oktober dan berada di sana sehingga 30 November.

Dia berkata, pasportnya perlu dipulangkan sementara kepadanya paling lewat hari ini, agar dia boleh membuat persiapan untuk terbang ke sana dan berjanji akan mengembalikan pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya 3 Disember.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Perbicaraan kes Muhammad Shafee yang diwakili peguam Wee Yeong Kang, berbaki tiga saksi pendakwaan untuk memberi keterangan sepatutnya bersambung pada 14 Oktober lalu.

Sebelum ini, mahkamah telah membenarkan permohonan pemulangan pasport sementara kepada beberapa tertuduh yang sedang menghadapi perbicaraaan, antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib dan Rosmah memberi alasan untuk ke Singapura bagi menemani anak perempuan mereka yang akan melahirkan tidak lama lagi. Manakala Zahid Hamidi mengemukakan alasan mahu ke Jerman bagi mendapatkan rawatan perubatan.