Nelayan Temui Harta Karun Empayar Srivijaya

Artifak dan harta karun terdiri daripada cincin emas, syiling loceng gangsa sami dan batu permata tinggalan empayar Srivijaya telah dijumpai nelayan yang meneroka Sungai Musi berdekatan Palembang.

Antara jumpaan harta karun paling mengkagumkan setakat ini adalah patung Buddha bersaiz agam bertatahkan batu permata dari abad ke-8, yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Patung Buddha itu dipercayai sebahagian alat sembahan yang dibawa masuk pedagang-pedagang China ke Sumatera untuk upacara keagamaan.

Pelbagai media tempatan dan antarabangsa melaporkan penemuan artifak ini yang dipercayai warisan Srivijaya, sebuah kerajaan yang berkuasa dari abad ke-7 dan ke-13.

Empayar Srivijaya yang kini dikenali sebagai Indonesia, adalah kerajaan berteraskan laut yang muncul dan berkembang di antara abad ke-7 dan ke-13.

Ia berasal dari Palembang di Pulau Sumatera tetapi memperluaskan pengaruhnya dan menguasai Selat Melaka. Sumatera digelar Pulau Emas kerana pulau itu menyimpan khazanah emas dan pelbagai hasil alam lain.

(Baca : Harta Karun Pulau Nangka Bukan Dongeng )

Namun satu abad kemudiannya, empayar itu lenyap dan punca keruntuhan kerajaan itu tidak dapat dikenalpasti.

Menurut ahli arkeologi maritim Britain, Dr. Sean Kingsley, “Ramai ahli sejarah berusaha ‘memburu’ khazanah Srivijaya sehingga ke Thailand dan India namun tidak banyak yang ditemui,”

“Ahli arkeologi gagal mencari bahan bukti yang cukup walaupun untuk sebuah perkampungan kecil termasuk di Palembang di mana lokasi empayar itu lenyap,

“Srivijaya menjaga rahsianya dengan penuh cermat. Hanya sejak lima tahun kebelakangan ini, barulah kita menemui barangan luar biasa.

“Duit syiling, patung emas Buddha, permata dan semua jenis barangan yang mungkin anda baca dalam kisah Sinbad, tetapi ia sebenarnya wujud di alam nyata.”

Dr. Sean Kingsley mengandaikan kemungkinan Srivijaya mengalami nasib yang sama seperti Pompeii yang ‘hilang’ akibat bencana alam seperti gunung berapi atau mungkin dilanda badai atau ditelan arus sungai ganas.

Selain aktiviti pencarian oleh nelayan tempatan, belum ada operasi pencarian atau penggalian rasmi, yang sekali gus menjadi punca mengapa banyak persoalan tidak terjawab.