Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) RM500 Bermula Hari Ini

Bermula hari ini, seramai 870,000 individu bakal menerima manfaat program Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500.

Bantuan kewangan secara sekali beri kepada individu yang hilang pendapatan sepanjang 2021, akan dibayar bagi meringankan beban mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela.

“Bagi membantu rakyat yang terkesan, Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan diberikan secara ‘one-off’ mulai Selasa, 26 Oktober 2021.

“Semua bantuan ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM434 juta demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 26 September lalu, Ismail Sabri memaklumkan beberapa bentuk bantuan, antaranya BKP, akan diberikan kepada penerima yang layak dan dijadual akan disalurkan bermula Oktober hingga Disember depan.

Pemberian BKP kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan adalah berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tahun ini.

Katanya, semakan status kelulusan BKP boleh dibuat mulai hari ini melalui Portal BKP iaitu https://bkp.hasil.gov.my/.

“Untuk maklumat lanjut, penerima BKP juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

“Semoga bantuan ini dan juga bantuan tunai lain yang disediakan kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan Keluarga Malaysia dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar ini,” katanya.