Sukmawati, Anak Soekarno Murtad Masuk Hindu

Anak perempuan bekas Presiden pertama Indonesia, Soekarno, mengambil keputusan untuk murtad dari Islam dan memeluk anutan Hindu.

Isnin lalu, Diah Mutiara Sukmawati Soekarnoputri, 70, menjalani upacara Sudhi Widhani atau upacara untuk berpindah keyakinan dari Islam menjadi Hindu.

Dia memeluk agama Hindu secara rasmi di Sukarno Center Heritage di Bale Agung Singaraja di Buleleng, Bali yang hanya dihadiri keluarga dan tetamu undangan sahaja.

CNN Indonesia melaporkan Sukmawati tiba di Sukarno Center Heritage bersama keluarganya dan dikawal polis.

Pasukan keselamatan dan puluhan hulubalang setempat mengawal ketat lokasi berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sukmawati memberitahu, selama ini ajaran Islam mengalir begitu sahaja dalam diri dan dia mengakui sentiasa berusaha memahami Islam dan menjadi insan yang baik dalam masyarakat.

“Bagi saya yang penting bukan saya jadi orang suci, tetapi bagaimana saya boleh menjadi seorang yang baik untuk masyarakat,” jelasnya.

Sukmawati berkata, semasa ibubapa dan suaminya masih hidup, dia tidak pernah terfikir untuk menukar agama walaupun sudah mula belajar agama Hindu.

Jelasnya, hasrat untuk memeluk agama Hindu bermula selepas suaminya meninggal dunia selain mempunyai hubungan erat dengan masyarakat Bali.

Selain itu, alasan yang diberikan untuk berpindah agama adalah kerana mendiang neneknya, Nyoman Rai Sirimbe beragama Hindu.

Menurut Sukmawati, dia juga telah meminta restu kakaknya, Megawati Soekarnoputri, bekas Presiden Indonesia kelima sebelum berpindah agama dari Islam menjadi Hindu. Selain itu, ketiga-tiga anaknya dan saudara-mara turut memberi persetujuan kepada keputusan Sukmawati.

Sejurus secara rasmi memeluk agama Hindu, dia memberi dirinya gelaran Ratu Niang Sukmawati Nama yang didakwa terinspirasi selepas Sukmawati dikatakan ‘jelmaan’ Ratu Majapahit Tribhuwana Tunggadewi.

Pengurus Sukarno Center, Arya Wedakarna berkata, nama Ratu Niang Sukmawati itu direstui oleh ketua agama itu di Bali.

Manakala pihak keluarga Sukmawati Soekarnoputri meminta semua pihak tidak mempolitikkan tindakan anak perempuan Sukarno itu murtad dari Islam ke Hindu.

Presiden Soekarno dan isteri Fatmawati serta lima anak mereka iaitu Sukmawati (berdiri kiri di sebelah Soekarno), Guruh, Megawati, Guntur dan Rachmawati.