Tempahan 100,000 Unit Kereta Naikkan Saham Tesla

Nilai pasaran Tesla dilaporkan melepasi 1 trilion USD selepas harga sahamnya mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak USD1,024.36.

Ia adalah ekoran tempahan kereta elektrik Tesla dari Hertz, sebuah syarikat kereta sewa Amerika Syarikat yang berpangkalan di Estero, Florida dalam jumlah besar pada hari Isnin lalu.

Hertz dilaporkan membeli 100,000 buah kereta Tesla menjelang akhir 2022, sebagai sebahagian daripada rancangan syarikat itu untuk menubuhkan rangkaian kereta sewa elektrik terbesar di Amerika Utara.

Berita itu membantu menaikkan harga pasaran saham Tesla pada hari yang sama dan meletakkan pengeluar kereta elektrik berpangkalan di California, Amerika Syarikat itu dalam kumpulan syarikat ‘Trillionaire Club’.

Empat syarikat yang terdahulu berjaya mencecah nilai trilion dolar ialah Apple, Microsoft, Amazon dan Alphabet, syarikat induk Google.

Tesla berjaya mencapai rekod penghantaran kenderaan pada suku ketiga 2021 dengan menghantar 241,300 kenderaan elektriknya di seluruh dunia antara Julai dan September, peningkatan sebanyak 73% daripada tahun lepas.

Semasa mesyuarat itu juga, beliau turut menyatakan kereta Model 3 menjadi kenderaan premium terlaris di dunia mengatasi model-model kereta jenama lain seperti BMW 3 Series, Mercedes C-Class, Mercedes E-Class dan Audi A4.

Kejayaan Tesla menduduki tempat teratas jualan kereta dibantu kejatuhan jualan pesaing tradisinya, yang menghadapi kesukaran memperoleh cip komputer akibat kekurangan bekalan di seluruh dunia.

Krisis kekurangan cip komputer memberi masalah kepada pengeluaran kereta global, namun Tesla berjaya mengatasi masalah itu dengan menulis semula perisian supaya dapat menggunakan cip yang tersedia ada.

Pada awal Oktober lalu, Elon Musk telah mengumumkan ibu pejabat Tesla akan meninggalkan California dan berpindah ke Texas dalam satu mesyuarat pemegang saham Tesla.