Remaja Derita OCD Tukar Penyakit Jadi Perniagaan

Sakit mental sering dikaitkan dengan kegagalan dan kesukaran dalam hidup. Namun seorang remaja yang menderita sakit mental mengubah halangan itu kepada satu peluang perniagaan.

Zykiah Ditchett remaja berumur 15 tahun dari Manchester, United Kingdom menghidap sejenis penyakit mental bernama Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).

Penyakit OCD ini adalah gangguan psikologi yang menjadikan individu itu gemar melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum itu tidak sempurna selain sentiasa merasa resah, tertekan dan cemas.

Gangguan OCD ini termasuklah tabiat suka membersih dan mencuci secara melampau hingga berulang kali walaupun kesan kotoran sudah tiada.

Zykiah mula menunjukkan gejala itu sejak dari kanak-kanak lagi dan didiagnosis dengan gangguan pembersihan obsesif kompulsif ketika berusia 13 tahun selepas ibu bapanya bimbang mengenai tabiat membersih rumah mereka secara berulang kali.

Sebagai usaha membantu remaja itu menguruskan penyakit itu, ibubapanya menghadiahkan set peralatan mencuci kereta kepada Zykiah sempena Hari Krismas.

Ibunya, Jo berkongsi hantaran mengenai penyakit OCD yang dihidapi Zykiah serta tabiatnya yang gemar mencuci kereta dalam Facebook.

Hantaran itu menjadi tular sehingga puluhan orang tampil menunjukkan sokongan dengan meninggalkan kenderaan mereka untuk dicuci di luar rumah keluarga Ditchett.

Seorang ahli perniagaan tempatan kemudian menawarkan sebuah lokasi tetap bagi membolehkan Zykiah menjalankan perniagaan cuci keretanya.

Menurut laporan akhbar tempatan Manchester Evening News, dia mengenakan bayaran sebanyak lima pound (RM28.57) bagi setiap kereta yang dicucinya. Antara pelanggannya termasuk selebriti bolasepak Inggeris, Ryan Giggs.

Pesakit OCD mempunyai simptom yang terbahagi kepada empat kategori iaitu kebersihan, keselamatan, kepercayaan (spiritual) dan susun atur (struktur) yang mana terdapat pesakit yang memiliki lebih daripada dua kategori berkenaan.

Kebanyakan pesakit OCD ini obses dengan aspek kebersihan dan keselamatan. Rawatan bagi penderita OCD juga perlu mengambil kira semua perkara seperti biologikal, psikologikal serta persekitaran sosial individu berkenaan.