Putera Mohammed Pernah Rancang Bunuh Raja Abdullah

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dituduh pernah merancang untuk membunuh Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz al-Saud dengan sebentuk ‘cincin beracun dari Rusia’.

Saad Aljabri Aljabri, bekas pegawai tertinggi dalam kerajaan Arab Saudi membuat tuduhan itu dalam rancangan temubual ‘CBS 60 minutes’

Dia juga mengatakan mempunyai bukti bahawa Putera Mohammed merancang untuk membunuh bekas Raja Arab Saudi itu seawal 2014, untuk memberi peluang ayahandanya Raja Salman naik ke tampuk takhta Arab Saudi.

Tambahnya lagi, Putera Mohammed merupakan seorang psikopat tanpa empati yang tidak mempunyai emosi.

Menurutnya, dia bersetuju muncul dalam rancangan itu bagi memberi amaran mengenai seorang psikopat, pembunuh di Asia Barat yang menimbulkan ancaman kepada rakyatnya, Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.

Dakwa Aljabri, Putera Mohammed pernah berkata beliau mahu membunuh Raja Abdullah dan sudah mendapat cincin beracun dari Rusia. Pemangku Raja Arab Saudi itu hanya perlu berjabat tangan dengan Raja Abdullah dan semuanya akan selesai.

Aljabri sedar dirinya akan dibunuh suatu hari nanti kerana Putera Mohammed Salman tidak akan berehat sehingga melihat dia mati kerana takut dengan maklumat yang dia ada.

Aljabri mendakwa mempunyai dua rakaman perbualan yang disimpan secara selamat.

Aljabri merupakan bekas pegawai perisik setia kepada bekas Ketua Keselamatan Arab Saudi, Putera Mohammed Nayef yang melarikan diri ke Kanada pada 2017 apabila Nayef digulingkan oleh Putera Mahkota semasa itu.

Dia juga mendakwa Putera Mohammed menghantar pasukan pembunuh ke Kanada untuk membunuh dan mengerat badannya dengan kaedah sama seperti pembunuhan Khashoggi yang didakwa dilakukan ejen putera itu di Istanbul, Oktober 2018.

Program tersebut turut menampilkan salah seorang anak lelaki Aljabri iaitu Khalid yang berkongsi pengalaman mengerikan mengenai dakwaan penyeksaan menantu bekas pegawai perisik itu dalam usaha memaksanya untuk kembali semula ke negara itu.

Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, Michael Morell yang turut muncul dalam program CBS itu menyifatkan Aljabri sebagai individu yang sangat setia kepada negaranya.

Sementara itu, Aljabri didakwa melakukan jenayah kewangan dan menjadi subjek tuntutan mahkamah yang difailkan oleh beberapa firma Arab Saudi berkaitan kerajaan yang mendakwanya melesapkan lebih AS$ 3 bilion (RM12.44 bilion) ketika bekerja untuk Nayef.

Sebelum Putera Mohammed dilantik sebagai Putera Mahkota, Raja Salman telah memecat dua Putera Mahkota lain sebagai penggantinya.

Tindakan itu melanggar tradisi Dinasti Saud yang mengamalkan pewarisan takhta raja kepada adik-beradik raja seterusnya dan bukan anak sendiri.

Putera Mohammed juga telah memenjara ramai kerabat sendiri yang dikatakan mampu mencabar kedudukannya.

Raja Abdullah meninggal dunia pada 2015 akibat komplikasi paru-paru berair dan digantikan dengan adiknya Raja Salman, bapa kepada Putera Mahkota Mohammed.