Jutawan Merajuk Dengan Bank, Keluarkan Semua Wang

Seorang jutawan membuat keputusan mengeluarkan semua simpanannya di sebuah bank di Shanghai kerana marah dengan pengawal keselamatan bank tersebut.

Lelaki itu berang selepas pengawal keselamatan tidak membenarkan dia memasuki bank kerana tidak memakai pelitup muka.

Jutawan yang dikenali dengan nama Sunwear, kemudian dilaporkan mengeluarkan wang simpanan dari bank itu yang dianggarkan berjumlah 5 juta yuan (kira-kira RM3.2 juta).

Itu adalah jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan dan jutawan itu bercadang untuk pergi ke bank berkenaan setiap hari bagi mengeluarkan simpanannya.

Kakitangan bank perlu mengira setiap wang berkenaan secara manual setiap kali pengeluaran dibuat.

Dalam video yang tular di laman sosial menunjukkan jutawan itu berang dengan layanan yang diterima daripada bank berkenaan.

Lelaki itu menuduh kakitangan bank tidak mempunyai sikap yang baik ketika melayan pelanggan sedangkan dia menyimpan jumlah wang yang banyak.

“Disebabkan tindakan itu, saya akan keluarkan semua wang dan menyimpannya di bank lain,” katanya.

Video yang tular juga memaparkan wang yang banyak dimasukkan ke dalam beg dan dibawa masuk menaiki limosin.

Hantaran video itu menyebabkan pengikutnya meningkat menjadi 1.7 juta.

Dua pekerja bank mengambil masa dua jam untuk mengira semua wang yang dikeluarkan.

Bank berkenaan memaklumkan tiada seorang pun kakitangan mereka yang melakukan perkara didakwa jutawan terbabit.

“Pelanggan itu mengharapkan perkhidmatan kewangan yang sangat tinggi,” lapor bank berkenaan.

Pengurus bank berkenaan berkata, jutawan berkenaan menjadi marah hanya disebabkan ditegur supaya memakai pelitup muka.

Namun sehingga kini, masih tidak diketahui sama ada semua wang di dalam akaun lelaki itu sudah dikeluarkan dari bank berkenaan.