Takaful Malaysia Perkenal Takaful Perlindungan Harian Bagi Kenderaan

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) melalui Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB), melancarkan Takaful myClick Motor FlexiSaver.

Ia adalah sebuah pelan takaful motor flexi pertama di Malaysia yang menawarkan perlindungan harian, Pay As You Drive (PAYD).

Pelan ini bersesuaian bagi pengguna yang jarang memandu atau memiliki beberapa kereta namun ingin mendapatkan penjimatan insurans dan takaful kenderaan.

Pelan Takaful myClick Motor FlexiSaver menandakan komitmen teguh syarikat untuk terus memberikan nilai unggul kepada pelanggan.

Pelanggan diberi fleksibiliti atau kelonggaran untuk mengaktifkan pelan ini sehari sebelum mereka ingin memandu dan dikenakan bayaran hanya pada hari-hari yang mereka memandu sahaja.

Ini bermakna, pelan ini cukup bermanfaat kepada pelanggan yang ingin menikmati penjimatan terutama kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagi memudahkan pelanggan melanggan pelan terbaharu ini, proses pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian.

Secara khususnya syarikat ingin memudahkan proses pendaftaran dalam talian pelanggan untuk pelan takaful motor ini, selaras dengan strategi digital Takaful Malaysia untuk meningkatkan kebolehcapaian produk dan perkhidmatan.

Pelanggan hanya perlu mendaftar untuk pelan asas Takaful myClick Motor FlexiSaver melalui portal jualan dalam talian atau aplikasi mudah alih Click for Cover, sebelum mengaktifkan PAYD melalui aplikasi mudah alih.

Takaful myClick Motor FlexiSaver menyediakan perlindungan setahun untuk kehilangan atau kerosakan pada kenderaan dan tawaran perlindungan kemalangan peribadi percuma sehingga RM15,000 untuk pemandu dan penumpang.

Ditawarkan secara dalam talian, pelan ini juga menyediakan program bantuan 24 jam untuk khidmat tunda kerosakan tanpa had.