Undang-Undang Kebankrapan Dikaji Untuk Bantu Individu Muflis

Undang-undang berkaitan kebankrapan akan dikaji semula supaya tidak menghalang individu yang diisytiharkan muflis daripada bekerja atau menjalankan perniagaan bagi menyelesaikan hutang.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), perbincangan di antara kementerian dengan Ketua Pengarah Insolvensi sedang dibuat untuk mewujudkan undang-undang yang lebih baik dan mesra kepada masyarakat.

“Apabila seseorang itu diisytiharkan bankrap, dia tidak lagi berkemampuan untuk membayar hutang. Jadi apakah keuntungan diperoleh kepada pihak yang memberi pinjaman.

“Jika kita membolehkan mereka berniaga dan bekerja, tidak wujud stigma kebankrapan kepadanya. Janganlah pihak syarikat dan kerajaan melihat orang yang bankrap ini tidak boleh bekerja dan tidak boleh hidup,” tegas beliau.

Pada 22 September tahun lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 sekali gus menjadikan ia lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.

Ini merupakan berita baik kepada individu yang diisytihar muflis untuk keluar daripada beban hutang terutama dengan institusi kewangan.

Kebanyakan kes yang diisytihar muflis di negara ini berpunca daripada pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, perumahan dan kad kredit.