PGA Tumpas Penyeludup Petrol Ke Thailand Dari Gual To’Deh

Tindakan penyeludup membina saluran minyak melalui dasar sungai untuk menyalurkan petrol di pangkalan haram Kertas, Kampung Gual To’Deh berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Antara barangan yang dirampas pihak berkuasa adalah petrol, sebuah kereta dan peralatan penyeludupan dengan nilai keseluruhan RM15,522.50.

Semua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

Dalam kejadian jam 9 pagi semalam, anggota bertugas terserempak sebuah Proton Waja ke arah pangkalan dalam keadaan mencurigakan sebelum mendekatinya.

Sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, pihaknya meminta pemandu lelaki berusia 40-an mengemukakan dokumen pengenalan diri selain membuat pemeriksaan ke atas badan namun tidak menemui sebarang barangan salah.

Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam kereta menemui dua tong berwarna putih disyaki berisi petrol dan enjin pam lengkap dengan getah paip menuju ke sebuah gelung konkrit.

Gelung konkrit kemudian diperiksa menemui satu lagi enjin pam yang dipasang dengan batang paip polyvinyl chloride (PVC) menghala ke sungai.

Pemeriksaan mendapati PVC dipasang sepanjang 300 meter merentasi Sungai Golok disyaki dijadikan saluran menyeludup petrol ke tebing sungai negara jiran.

Terdapat juga besi pada dasar sungai yang mana suspek mengakui ia bertujuan menghalang batang PVC daripada pecah jika aliran air sungai deras.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof berkata memaklumkan, suspek dari Tumpat itu ditahan bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Soal siasat yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia menjalankan aktiviti berkenaan sejak November tahun lalu.

Suspek juga mengakui membina sendiri saluran berkenaan hasil bertanya cara pembuatan dengan mereka yang pakar.

Tong yang tersedia di sebelah negara jiran dipercayai boleh menerima sehingga 1,000 liter petrol.

Suspek memberitahu mendapat permintaan dari Thailand hampir setiap hari, namun dia hanya menjalankan penyeludupan jika keadaan selamat daripada pantauan pihak berkuasa.

Suspek disyaki mendapatkan bekalan petrol di stesen minyak berdekatan sebelum membawanya ke lokasi ini yang agak tertutup dari jalan utama.

Menurut Nor Azizan, penemuan kes itu adalah kejayaan besar namun PGA akan terus mengenal pasti modus operandi terbaru golongan penyeludup agar jenayah rentas sempadan dapat terus dikekang.