Pemangku Raja Pahang Pegang Semula Saham Terbesar Syarikat Bina Lynas

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang melepaskan 50% milikan saham dalam Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB) pada Februari lalu, memperoleh semula pegangan saham tersebut.

Kemaskini mutakhir profil GSSB dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada April lalu, menjadikan putera sulung YDPA Sultan Abdullah itu, sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan tapak pelupusan kekal sisa (PDF) Lynas Malaysia.

Berdasarkan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) GSSB ialah kontraktor utama bagi rancangan pembinaan kemudahan tapak pelupusan kekal (PDF) Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang.

Rancangan asal Lynas adalah untuk membina PDF di Bukit Ketam, Mukim Kuala Kuantan tetapi EIA untuk ini telah ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada April.

NGO Center for Combat Corruption and Cronyism (C4) dalam satu kenyataan sebelum ini mempersoalkan kelayakan GSSB untuk membangunkan tapak pelupusan kekal sisa Lynas kerana GSSB adalah pengendali sisa berjadual berlesen.

C4 mendedahkan bahawa dalam laporan kewangan GSSB untuk tahun yang berakhir pada Jun 2018, yang diserahkan dua tahun lambat ke SSM pada bulan Mei 2020, (menunjukkan) retained earning (pendapatan bersih selepas ditolak dividen kepada pemegang saham) tampaknya negatif, tidak ada pendapatan, dan mengalami kerugian selepas cukai.

Menurut kenyataan C4, setakat perkembangan terkini, projek MSICWDS berpotensi menelan belanja sehingga berbilion-bilion ringgit.

C4 menyoal, “Mengapa syarikat yang mempunyai daya maju kewangan yang dipersoalkan dan maklumat awam yang terhad dipilih untuk projek berskala besar yang melibatkan sisa berbahaya? Hubungan yang jelas dengan pelaku politik dan kerabat diraja juga menimbulkan asas nyata atas keprihatinan ini.”

Malaysiakini telah menghubungi pejabat kerabat diraja Pahang, kerajaan negeri Pahang, GSSB dan Lynas untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai perkara ini.

Lynas yang beroperasi di Gebeng, Kuantan, menerima kritikan sejak ia mula beroperasi pada 2012 kerana kebimbangan berlakunya insiden pencemaran radioaktif.

Penduduk sekitar tidak mahu tapak pelupusan sisa beradioaktif itu mencemarkan sumber air mereka dan alam sekitar yang akan menghantui penduduk sehingga bergenerasi lamanya.

Sumber asal: Malaysiakini