Doktor Malaysia Cipta Kondom Uniseks Pertama Di Dunia

Seorang doktor pakar sakit puan warga Malaysia berjaya menghasilkan kondom uniseks pertama di dunia.

Kondom uniseks itu dilaporkan boleh digunakan oleh lelaki atau wanita dan dicipta daripada bahan untuk perubatan yang biasanya digunakan sebagai pembalut untuk luka atau kecederaan.

John Tang Ing Chinh, yang berasal dari Sibu, Sarawak berharap Kondom Uniseks Wondaleaf akan membantu masyarakat menjaga kesihatan seksual mereka dengan lebih baik tanpa mengira jantina atau orientasi seksual.

“Secara asasnya ia adalah kondom biasa dilitupi pelekat yang melekat pada faraj atau zakar, serta menutup kawasan berdekatan untuk perlindungan tambahan,” jelas Tang seorang pakar ginekologi di Pusat Perubatan Rejang, Sibu.

Kondom tradisional yang ada sekarang, hanya menutup bahagian zakar tetapi mendedahkan kawasan badan yang lain dan menambah risiko jangkitan penyakit kelamin.

Pelekat itu hanya terdapat pada satu bahagian kondom berkenaan yang dapat diterbalikkan dan boleh digunakan oleh lelaki atau wanita.

Setiap kotak Wondaleaf mengandungi dua keping kondom dan berharga RM14.99. Harga purata untuk sedozen kondom di Malaysia ialah RM20 hingga RM40.

Tang membuat kondom menggunakan ‘polyurethane’, sejenis bahan lutsinar yang nipis dan fleksibel namun kuat dan kalis air yang digunakan dalam produk pembalut luka.

Ia begitu selesa dan mesra tubuh, apabila kondom itu disarung, pengguna tidak akan menyedari kondom itu ada pada alat kelamin mereka.

Menurut Tang, Wondaleaf telah melalui beberapa tahap penyelidikan serta ujian klinikal dan akan berada di pasaran secara komersil melalui laman sesawang syarikatnya, Twin Catalyst bermula Disember ini.

“Berdasarkan bilangan ujian klinikal yang telah dilakukan, saya agak optimis bahawa jika diberikan masa, Wondaleaf akan menambah pilihan kepada kaedah yang digunakan dalam pencegahan kehamilan yang tidak diingini dan penyakit kelamin,” kata Tang.