China Haramkan Namawee Kerana Bersikap Anti-China

Namawee yang pernah mencetuskan kontroversi menghina Islam dan Melayu, dituduh pula menghina negara China dan bersikap ‘anti-China’.

Terbaru, dia dan karyanya diharamkan di negara komunis itu kerana dikatakan menghina China melalui lagu terbaru bertajuk Fragile.

Lagu dalam bahasa Mandarin yang ditulis Namewee didakwa mengandungi topik sensitif seperti penghinaan terhadap Presiden China iaitu Xi Jinping, menyentuh isu tapisan (censorship), etnik Uighur dan Covid-19.

Video muzik Fragile yang menampilkan kolaborasi dengan penyanyi kelahiran Australia-China, Kimberly Chen dipenuhi objek hiasan dan kostum berwarna merah jambu.

Walaupun China tidak disebut secara langsung dalam lirik Fragile, tema merah jambu dianggap sinonim dengan ‘Little Pink’ iaitu satu gerakan nasionalis Cina.

Selain daripada itu, elemen kelawar yang dimasukkan Namawee dalam video tersebut dilihat sengaja menjentik sensitiviti China berhubung asal usul Covid-19.

Namawee 38 tahun, tampil mempertahankan diri melalui hantaran Instagram dan menulis bahawa dia bukan seorang ‘anti-China’.

“Saya [orang] Cina. Adakah saya menghina diri saya sendiri?” soal Namewee.

Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah ditahan pihak berkuasa beberapa kali kerana lagu dan video muziknya didakwa menghina agama dan kaum lain.

Namewee menegaskan bahawa dia adalah pencinta budaya China dan selama bertahun-tahun sering mengembara ke negara itu.

Dia tidak berdendam dengan rakyat China sebaliknya mendakwa menghormati rakan-rakannya dari kalangan artis yang berasal dari negara itu.

“Saya tak mahu pergi ke China kerana terlampau banyak penapisan dan kekangan. Saya khuatir sekiranya ia akan menjejaskan kreativiti dan hasil kerja saya. Saya tak mahu kehilangan idea asal kandungan yang saya hasilkan. Tu saja,” katanya.

Namewee sebelum ini diharamkan di aplikasi Weibo pada Ogos lalu kerana berkongsi catatan mengenai lapan cadangan agar Taliban memperkukuh pemerintahannya, yang semuanya mencerminkan dasar China.

Lagu Fragile telah disiarkan di laman YouTube bermula 15 Oktober dan video muzik berkenaan meraih hampir 20 juta tontonan.