9 Wanita Yang Pernah Menjadi Isteri Soekarno

Presiden Indonesia pertama, Soekarno dikenali sebagai ‘Ladies Man’ kerana banyak berkahwin dan bercerai sehingga ke akhir hayatnya. Kenali 9 orang wanita yang pernah menjadi isteri kepada Soekarno yang digelar sebagai Pencinta Wanita.

1.Siti Oetari adalah anak kepada Haji Oemar Said Tjokroaminoto, mentor politik Soekarno dan pemimpin pertubuhan Sarekat Islam. Isteri pertamanya itu berusia 16 tahun dan Soekarno berumur 20 tahun sewaktu mereka bernikah. Pernikahan mereka berlangsung ketika Soekarno baru memulakan kerjaya politiknya termasuk gerakan memerdekakan Indonesia. Dek kesibukan Soekarno, pengantin muda itu tidak melalui alam perkahwinan seperti pasangan lain. Hubungan mereka lebih kepada abang dan adik berbanding suami isteri. Soekarno dikatakan tidak pernah ‘menyentuh’ Oetari dan mereka bercerai secara baik pada 1923.

Siti Oetari

2.Inggit merupakan tuan rumah kepada Soekarno yang menyewa rumah wanita itu di Bandung. Mereka bertemu pada tahun 1921 pada waktu kedua-duanya masih mempunyai pasangan. Walaupun Inggit 12 tahun lebih tua, Soekarno terpikat dengan kecantikannya. Setelah mereka berdua bercerai, mereka melangsungkan perkahwinan pada 1923. Inggit berada di sisi Soekarno ketika suaminya berjuang menuntut kemerdekaan. Termasuk sewaktu Soekarno dipenjarakan di Bandung, serta melarikan diri ke Flores dan Bengkulu. Mereka mempunyai 2 orang anak angkat.

Inggit

3.Fatmawati bertemu Soekarno sewaktu Presiden itu melarikan diri ke Bengkulu. Soekarno dan Inggit asalnya menjadi keluarga angkat Fatmawati atas permintaan bapa gadis itu yang mahu anaknya menyambung pelajaran. Soekarno jatuh cinta pada Fatmawati dan mengajak gadis itu berkahwin tetapi Fatmawati enggan bermadu. Soekarno kemudiannya, meminta izin Inggit untuk bernikah dengan alasan mahukan zuriat sendiri, namun Inggit juga tidak rela berkongsi suami dan meminta cerai. Selepas bercerai, Soekarno dan Fatmawati berkahwin pada 1943 dan mempunyai 5 orang anak termasuk Megawati Soekarnoputri, bekas Presiden Indonesia ke-5.

Fatmawati

4.Hartini adalah seorang janda 5 anak ketika bertemu Soekarno di Jogjakarta. Dua hari selepas kelahiran anak bongsunya, Guruh Soekarnoputra pada 15 Januari 15, 1953, Soekarno meminta izin Fatmawati untuk mengahwini Hartini. Fatmawati memberikan keizinan kepada suaminya untuk menikah lagi. Hartini kekal menjadi isteri Soekarno sehingga kematiannya. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Taufan Soekarnoputra.

Hartini

5.Kartini Manoppo, gadis dari Bolaang Mongondow di Sulawesi Utara, dinikahi Soekarno pada 1959. Dia merupakan bekas pramugari Garuda, syarikat penerbangan Indonesia. Pertemuan kali pertama Soekarno dengan Kartini adalah melalui potret gadis itu yang dihasilkan pelukis Indonesia, Basuki Abdullah. Jatuh cinta pandang pertama dengan gadis di dalam lukisan, Soekarno meminta Basuki mengatur pertemuan mereka berdua. Soekarno meminta Kartini menjadi pramugari peribadi bagi penerbangan rasminya. Akhirnya mereka berkahwin pada 1959 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Totok Suryawan Sukarno.

Kartini

6.Ratna Sari Dewi dilahirkan sebagai Naoko Nemoto, gadis keturunan Jepun yang hanya berusia 19 ketika dia berkahwin dengan Soekarno yang berusia 57 tahun pada 1962. Mereka bertemu di satu majlis makan malam di Tokyo. Perkahwinan itu menghasilkan seorang zuriat perempuan yang diberi nama Kartika Sari Dewi Soekarno. Pernikahan Soekarno dengan wanita Jepun itu mendapat banyak kritikan daripada rakyat Indonesia yang tidak suka dengan sikap mata keranjang presiden itu. Selain Fatmawati dan Hartini, Dewi adalah isteri yang bersama Soekarno sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1970.

Ratna Sari Dewi

7.Hariyatie adalah penari istana profesional dan kakitangan kepada Setiausaha Negeri Jabatan Kebudayaan. Dia bertemu dan menjalin hubungan rapat dengan Soekarno menerusi pekerjaannya. Perkahwinan mereka pada tahun 1963, sewaktu Haryatie berusia 23 tahun tidak bertahan lama. Bagaimanapun selepas dua tahun bernikah, Hariyatie dan Soekarno bercerai atas alasan tiada persefahaman.

Hariyatie

8.Yurike baru menginjak remaja sewaktu bertemu dan berkahwin dengan Soekarno yang sudah masuk ke usia senja. Gadis itu adalah ahli pembawa bendera perbarisan Bhinneka Tunggal Ika di Istana Presiden. Walaupun mempunyai perbezaan usia yang sangat ketara, Soekarno jatuh cinta dengan gadis sebaya anaknya itu. Dia menghantar pelbagai hadiah dan surat cinta yang membuatkan Yurike terpikat hingga bersetuju berkahwin pada 1964. Namun, keadaan negara yang tidak stabil dan pudarnya pengaruh politik Soekarno menyebabkan dia mengambil keputusan menceraikan Yurike.

Yurike

9.Heldy adalah isteri terakhir dikahwini Soekarno ketika dia berumur 65 tahun dan gadis berumur 18 tahun itu adalah rakan Yurike, isteri kelapannya dan juga ahli kumpulan Bhinneka Tunggal Ika. Mereka bernikah cuma dua tahun dari 1965 hingga 1968, pada saat kejatuhan Soekarno dari puncak kuasa dan menjadi tahanan politik.

Heldy