Perisik Yang Hampir Menjadi Menteri Pertahanan Negara Musuh

Ini adalah kisah licik seorang perisik yang pernah menjatuhkan reputasi kerajaan Syria dan hampir menjadi Menteri Pertahanan negara itu.

Eliyahu Ben-Shaul Cohen adalah seorang Yahudi yang lahir pada 1924 di Alenxandria, Mesir. Eli sekeluarga berpindah ke Israel pada 1956 dan dia berkahwin dengan Nadia Majald, pendatang dari Iraq.

Pada 1960, Eli direkruit oleh Mossad untuk menjalankan tugas risikan di Syria sekitar 1961 hingga 1965. Bagi menjayakan misi pengintipan ini, Eli diberi identiti baru dengan nama Kamel Amin Thaabet.

Sebagai Kamel, dia adalah seorang usahawan berbangsa Syria yang menetap di Argentina dan sudah lama tidak pulang ke negara asalnya, Syria. Eli turut menerima dana besar daripada Mossad untuk membuka perniagaan di Syria dan juga membina hubungan dengan pelbagai individu berpengaruh besar bagi mengukuhkan statusnya.

Demi menguatkan identiti Kamel, Eli belajar bercakap bahasa Arab dalam dialek Syria dan menetap di Argentina selama hampir setahun untuk mengukuhkan watak dan rangkaian sebelum memulakan misi pengintipan di Syria.

Di Argentina, Eli berkenalan dengan Menteri Pertahanan Syria iaitu Jeneral Amin al-Hafez yang mempunyai pengaruh besar di Syria serta berpotensi untuk menjadi Presiden negara itu. Jeneral Amin berjaya menggulingkan kerajaan Syria dan Eli turut terlibat dalam rampasan kuasa itu dengan memberi dana wang dan memperdaya pimpinan tertinggi.

Sebagai balasan, Jeneral Amin yang menjadi Presiden Syria telah melantik Eli menjadi pegawai kanan dalam Kementerian Pertahanan Syria. Pelantikan itu membuka ruang yang tidak terbatas dan cukup luas kepada Eli untuk mengakses maklumat sulit kerajaan Syria.

Atas dasar itu, Eli berjaya memperoleh maklumat tentang ketenteraan Syria termasuk aset dan kubu Syria yang digunakan untuk bertahan daripada serangan tentera Israel.

Maklumat pertahanan itu dihantar ke Mossad dengan menggunakan isyarat radio kod morse. Konon simpati kepada tentera Syria yang bersiap siaga di bawah matahari terik di Bukit Golan, Eli mencadangkan supaya pokok ditanam di seluruh kawasan kubu tersebut.

Tetapi sebenarnya, pokok-pokok itu adalah sebagai penanda kawasan dalam Perang 6 Hari yang membolehkan Israel menawan Bukit Golan dalam masa dua hari sahaja. Tentera Israel diarahkan supaya menyerang pokok-pokok itu jika mahu membunuh tentera Syria.

Eli di Bukit Golan

Eli juga mengumpul maklumat mengenai tentera Syria seperti nama isteri, nama anak dan alamat mereka. Setiap kali tentera Syria menyerang Israel dengan jet pejuang, Mossad akan memintas isyarat radio pesawat. Mossad mengugut akan membunuh keluarga juruterbang membuatkan juruterbang membatalkan serangan dan berpatah balik ke Syria.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Kolonel Ahmed Suidani, Ketua Perisikan Syria yang baru dilantik tidak mempercayai sesiapa pun termasuk Eli.

Bermula Januari 1965, perisikan Syria meningkatkan usaha mereka mengesan perisik peringkat tinggi menggunakan alat pengesan buatan Soviet Union dengan bantuan pakar perisikan Soviet. Pejabat Kedutaan India di Syria terletak berhampiran rumah Eli dan aktiviti penghantaran isyarat radio ke Israel menyebabkan isyarat radio mereka sering terganggu dan terputus.

Kolonel Ahmed Suidani mengarahkan pasukannya membuat pemeriksaan di kawasan sekitar tersebut namun tidak menjumpai faktor yang boleh mengganggu isyarat radio Pejabat Kedutaan India. Perisikan Syria menutup sumber elektrik di kawasan tersebut untuk membuat pemeriksaan. Eli terpaksa menggunakan bateri kerana terdesak mahu menghantar maklumat kepada Israel.

Pasukan perisikan Kolonel Ahmad Sudaini berjaya mengesan isyarat radio yang datang dari rumah Eli dan pada 24 January 1965, Eli ditangkap ketika sedang menghantar isyarat radio ke Israel. Banyak dokumen tentang rahsia ketenteraan Syria dan pejuang Islam yang dihantar Eli kepada Mossad dijumpa di rumahnya.

Eli dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 18 Mei 1965 walaupun ada banyak rayuan daripada Israel dan sekutunya meminta hukuman itu dibatalkan.

 

Mayat pengkhianat itu ditayangkan di tengah bandar Syria selama beberapa hari sebagai penghinaan terhadap Israel dan peringatan kepada kerajaan Syria atas kecuaian mereka.

Sehingga ke hari ini, mayat Eli Cohen masih di Syria meskipun Israel telah merayu untuk membawa pulang jasadnya sebagai tanda penghormatan.

Eli didakwa memerlukan hanya 3 langkah lagi untuk menjadi Menteri Pertahanan Syria sebelum pengintipannya terbongkar. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada Syria jika pengkhianat itu berjaya dalam misinya?