PDRM Berkas Pengkhianat Negara Di KLIA

Polis menahan dua kakitangan bahagian kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mereka dipercayai ada kaitan dengan penyeludupan dadah bernilai RM8.1 juta.

Suspek antara empat individu yang diberkas polis dalam operasi rampasan dadah yang dilaksanakan antara 22 hingga 26 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 34 hingga 59 tahun dan dikesan aktif melakukan penyeludupan dadah sejak April 2021.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA membuat pemeriksaan ke atas penghantaran barangan menggunakan kargo udara ke Auckland, New Zealand di KLIA pada jam 9.30 malam, 22 Oktober lalu.

Penghantaran itu melibatkan lima kotak yang diisytiharkan berisi barangan elektronik. Namun setelah diperiksa, polis berjaya menemui dadah syabu seberat 200 kilogram yang boleh digunakan oleh seramai sejuta penagih dadah.

Dua kakitangan kargo yang ditahan berperanan sebagai pemudah cara untuk sindiket terbabit mengeksport dadah itu ke luar negara.

Ia merupakan percubaan kali kelima menghantar dadah melalui KLIA yang berjaya ditumpaskan pihak berkuasa sepanjang tahun ini dengan kerjasama pihak keselamatan KLIA.

Semakan rekod jenayah mendapati empat suspek berasal dari Lembah Klang itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah.

Polis merasa kesal dengan perbuatan kakitangan kargo yang ditahan itu yang disifatkan sebagai mengkhianati negara.

Mereka seolah-olah menjadikan negara ini pusat pengedaran dadah yang boleh mencemarkan imej negara.

Dalang utama  dan saki-baki ahli sindiket itu sedang dikesan polis bagi membantu siasatan.

Harta milik suspek ditahan turut dilucutkan iaitu sebuah pacuan empat roda, wang tunai berjumlah RM3,560, jam tangan mewah bernilai RM3,560 dan wang di dalam bank berjumlah RM49,000.

Suspek kini ditahan reman hingga 5 November bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.