‘Tokyo Joker’ Ditangkap Polis Jepun

Tokyo gempar apabila seorang lelaki yang memakai kostum Joker menyerang serta mencederakan penumpang yang menaiki kereta api ke pusat bandar Tokyo pada Ahad, 31 Oktober lalu.

Saksi-saksi juga mendakwa penyerang turut memulakan kebakaran dalam kereta api. Bagaimana penyerang itu memulakan kebakaran belum jelas tetapi laporan media menyatakan lelaki itu menuang cecair di sekeliling gerabak kereta api.

Kejadian berlaku di di laluan ekspres Keio menuju ke Shinjuku, stesen kereta api paling sibuk di dunia, kira-kira jam 8 malam.

Kyodo News melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera, dengan salah seorang mangsa ialah seorang warga emas lelaki berusia 60an yang kini dalam keadaan kritikal selepas ditikam menggunakan pisau.

Satu video yang dimuat naik di Twitter dan disiarkan di NHK menunjukkan orang awam melarikan diri keluar dari kereta api sebelum letupan kecil yang menyebabkan kebakaran.

Sebuah lagi video menunjukkan penumpang bergegas keluar dari tingkap kereta api menuju ke platform.

Para pegawai syarikat kereta api belum dapat dihubungi untuk memberi komen tentang serangan yang berlaku sekitar pukul 8.00 malam sedang undian bagi pilihan raya umum negara itu ditutup.

Saya lihat orang ramai berlari keluar, saya fikir ia aksi lakonan sempena Halloween. Tetapi kemudian saya nampak lelaki itu, membawa pisau,” kata saksi kepada akhbar Yomiuri. Suspek kejadian sudah ditahan pihak polis.

Jepun mempunyai undang-undang senjata api yang tegas tetapi terdapat jenayah keganasan yang sekali sekala berlaku membabitkan senjata lain.

Jenayah keganasan jarang berlaku di Jepun tetapi pada Ogos, sembilan individu cedera, dengan satu orang parah, menyusuli serangan tikaman di sebuah kereta api penumpang di Tokyo. Suspek kemudian menggantung diri sendiri selepas melarikan diri daripada tempat kejadian.