5 Bahaya Tidur Lewat Kepada Lelaki!

Adakah anda seorang yang kerap tidur lewat? Jika ya, awas kerana tabiat tidur lewat pada setiap malam yang berterusan akan memberi kesan buruk kepada kesihatan anda.

Bagi individu dewasa, sememangnya digalakkan untuk tidur sekurang-kurangnya di antara 6 hingga ke 8 jam sehari bagi memastikan sistem tubuh dapat berfungsi dengan baik. Ia bagi menampung keperluan badan untuk berehat dan pulih dari sebarang kecederaan jika ada. Berikut 5 sebab mengapa tidur lewat bahaya kepada kaum lelaki.

1. Melemahkan imunisasi badan
Tabiat tidur lewat malam terbukti melemahkan sistem imunisasi badan yang mempengaruhi kerosakan sel-sel darah putih. Tidur yang kurang daripada lapan jam sehari mengurangkan tahap antibodi sebanyak dua kali ganda lebih rendah daripada orang cukup tidur selama lapan jam. Kekebalan tubuh menjadi lemah untuk melawan kuman dan mudah diserang pelbagai penyakit kronik seperti barah, kardiovaskular serta menurunkan daya ingatan dan tumpuan.

2. Hormon testosteron rendah
Lelaki yang suka tidur lewat didapati mempunyai kadar testosteron lebih rendah kerana tidur lewat membuatkan badan keletihan kerana mengantuk. Ia sekaligus mengurangkan tenaga dalam tubuh yang menyebabkan nafsu dan ghairah seksual seseorang itu berkurangan.

3. Kualiti sperma yang buruk
Lelaki yang memiliki pola tidur yang tidak teratur mempunyai kualiti sperma yang kurang baik kerana sistem imun badan mengganggu penghasilan sperma. Kurangnya waktu tidur yang cukup mengganggu emosi dan hormon lelaki yang menjadi antara punca lambat mendapat cahaya mata.

4. Risiko kencing manis
Kaum lelaki yang kurang mendapatkan tidur pada hari bekerja mendedahkan diri mereka kepada risiko kencing manis tahap dua. Ini kerana tidur lewat membuatkan seseorang itu cenderung merasa lapar dan makan berlebihan yang meningkatkan tekanan darah, paras kolesterol, kadar gula dalam darah dan membentuk plak dalam arteri.

5. Risiko kemalangan
Kekurangan tidur antara punca banyak kemalangan dan bencana yang berlaku terutamanya kemalangan jalan raya. Keadaan mengantuk boleh melambatkan masa untuk bertindak balas ketika memandu kenderaan.

Bagi mendapatkan tidur yang berkualiti, disarankan anda mempunyai waktu tidur yang sama setiap hari, berhenti menggunakan alat elektronik 1 jam sebelum waktu tidur dan mempunyai tempat tidur yang selesa dan gelap.

Pastikan anda tidak terlalu kenyang, haus atau lapar sebelum masuk tidur kerana perkara ini juga boleh mengganggu tidur yang nyenyak. Rutin senaman secara kerap dan menjaga pemakanan juga membantu kepada kualiti tidur yang lebih baik.

Sekiranya anda mengalami kesukaran untuk tidur selama lebih daripada tiga malam setiap minggu selama tiga bulan, ia mungkin tanda penyakit insomnia. Segera bertemu dengan doktor bagi pemeriksaan lanjut.