10 Adab Pemakanan Rasulullah s.a.w.

Sorang tabib pernah dikirimkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. oleh Raja Mesir bernama Muqauqis bagi mengubati penduduk Madinah secara percuma.

Tetapi, tidak ada seorang  pun yang datang berubat selepas tabib itu tinggal beberapa lama di Madinah. Akhirnya, tabib itu memutuskan untuk pulang ke Mesir apabila merasakan tiada penduduk Madinah yang memerlukan khidmat rawatannya.

Semasa meminta izin pulang daripada Rasulullah s.a.w., tabib bertanya, “Izinkan saya mengetahui apakah rahsia yang menyebabkan tidak seorang pun di sini mengeluh sakit?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Kami adalah kaum yang tidak makan sehingga kami berasa lapar dan kami berhenti makan sebelum kenyang.”

Adab-adab makan yang diamalkan Rasulullah s.a.w. sangat baik untuk menjaga kesihatan tubuh badan tanpa perlu mengeluarkan banyak wang, tenaga dan masa.

1. Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang
Ini adalah etika pemakanan Nabi Muhammad s.a.w. yang paling utama. Ini kerana apabila kita makan ketika lapar, secara tidak langsung kita akan makan dalam kuantiti yang banyak tanpa kita sedari.

2. Membasuh tangan
Menurut satu pendapat, ia bukanlah sunnah secara umum. Ini kerana ia bergantung pada situasi. Sekiranya tangan kotor, maka dibasuh dan sekiranya tidak, cukup disapu sahaja tangan itu. Sunnahnya adalah memastikan tangan sentiasa bersih sama ada dicuci ataupun disapu.

3. Membaca Basmalah sebelum makan
Rasulullah s.a.w. berkata, “Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah SWT (iaitu Bismillah). Sekiranya terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’.” Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim. Terdapat pendapat yang mengatakan, sekiranya makan dalam satu kumpulan, cukup seorang sahaja yang membaca basmalah sambil yang lain mendengar. Membaca basmalah dapat menghindarkan kita daripada makan bersama syaitan dan menjadikan makanan itu lebih berkat.

4. Makan dengan tangan kanan
Rasulullah s.a.w. berkata, “Apabila kamu hendak makan, hendaklah makan dengan tangan kanan, dan apabila hendak minum, minumlah dengan tangan kanan, kerana syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.” (Hadis direkodkan oleh Muslim).

5. Menggunakan tiga jari untuk makanan tepu seperti roti
Dalam konteks masyarakat Malaysia, roti canai adalah contoh makanan tepu. Makan dengan tiga jari menjadikan kita makan lebih beradab. Namun tidak sesuai sekiranya kita makan nasi dan seumpamanya.

6. Makan di atas lantai
Apabila makan, Nabi Muhammad s.a.w. akan meletakkan makanan di atas lantai (beralaskan saprah). Bukan kerana waktu itu tidak ada meja, tetapi ia lebih mendekatkan diri pelakunya kepada sifat tawaduk. Anas bin Malik RA berkata, “Rasulullah s.a.w. tidak pernah makan di atas meja makan.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari).

7. Mengunyah makanan dengan sungguh-sungguh
Rasulullah s.a.w. mengunyah makanan dengan bersungguh-sungguh sehingga makanan itu lumat. Selain menggambarkan baginda menikmati makanan itu, ia juga membantu tubuh bagi mencerna makanan dengan lebih baik.

8. Makan beramai-ramai
Baginda Rasulullah s.a.w. mengalakkan kita makan secara berjemaah dalam satu talam. Anas bin Malik r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak makan siang dan malam dengan menggunakan roti dan daging kecuali dalam hidangan bersama orang ramai. Makan beramai-ramai memberikan keberkatan kepada makanan itu. Jabir r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkata, makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang, dan makanan dua orang pula mencukupi untuk empat orang. Demikian pula makanan empat orang mencukupi untuk lapan orang.” Hadis direkodkan oleh Muslim.

9. Mengambil makanan dari tepi, bukan dari tengah
Rasulullah s.a.w. berkata, “Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pinggan, tetapi hendaklah dia makan makanan daripada bahagian di sebelah bawahnya, kerana sesungguhnya keberkatan itu turun daripada puncak (ke bawah). Hadis direkodkan oleh Abu Daud.

10. Tidak pernah mencela makanan
Baginda makan apa yang ada sahaja. Sekiranya Baginda tidak gemar, baginda tidak memakannya dan hanya diam. Tanpa bercakap buruk tentang makanan itu. Abu Hurairah RA berkata, “Rasulullah s.a.w. tidak pernah sekalipun mencela makanan. Sekiranya baginda berselera, baginda makan, dan sekiranya baginda tidak suka, baginda tinggalkannya. (Hadis direkodkan oleh Abu Daud).