9 Kepentingan Zink Untuk Kelelakian Anda

Antara mineral penting yang diperlukan oleh tubuh untuk aktiviti enzim, hormone dan sistem badan adalah zink. Secara umum, mineral zink membantu memulihkan kecederaan, merawat keguguran rambut dan mencegah masalah kulit seperti jerawat.

Namun, tidak ramai yang tahu mengenai kepentingan zink dalam aspek kelelakian individu yang berkaitan dengan seksual. Zink adalah mustahak bagi memperoleh prestasi cemerlang dalam kesihatan anda.

1. Meningkatkan kesihatan seksual
Digelar ‘the ultimate sex mineral’ oleh majalah Men’s Health, zink mempengaruhi kesihatan seksual dan kesuburan lelaki untuk tempoh panjang. Diperlukan bagi menghasilkan sperma, kekurangan zink boleh menyebabkan air mani kurang pekat. Bagi setiap ejakulasi, 5mg zink dikeluarkan iaitu separuh daripada keperluan harian badan. Jika anda ingin mendapatkan zuriat, masukkan suplimen zink dalam diet harian.

2. Meningkatkan kekuatan sperma
Kandungan sperma yang banyak sahaja tidak memadai untuk persenyawaan. Bagi meningkatkan peratusan persenyawaan dengan ovum, sperma yang dihasilkan mesti berkualiti dan cukup kuat.

3. Mengurangkan risiko barah prostat
Kajian menunjukkan sel prostat pesakit kanser mengandungi kurang zink berbanding sel prostat yang sihat. Kurang zink juga menyebabkan pembesaran prostat yang mengakibatkan masalah prostitis iaitu pembengkakan dan keradangan yang berlaku pada kelenjar prostat yang menyebabkan pembuangan air kencing yang menyakitkan.

4. Merawat dan mencegah jerawat
Zink berkesan mengurangkan jerawat, sama ada diambil dalam bentuk tablet atau disapu pada kulit. Ini kerana sifatnya yang membantu mempercepatkan penyembuhan luka dari dalam dan mengurangkan keradangan kulit. Ia juga membantu merawat psoriasis, eczema, kudis dan kelemumur.

5. Mengelakkan dan merawat kebotakan
Tanda alopecia atau botak mungkin bermula dengan penipisan atau kehilangan rambut yang drastik. Zink membantu pertumbuhan semula rambut. Kajian menunjukkan lelaki yang makan daging lebih jarang menjadi botak berbanding lelaki yang kurang memakan daging kerana daging merupakan sumber zink yang tinggi. Dos supplement zink yang diperlukan untuk menghalang botak adalah 50-100mg/sehari.

6. Merawat kerosakan hati
Kajian menunjukkan kekurangan zink boleh mempercepat proses kerosakan hati yang disebabkan. Zink membantu kebolehan antioksidan hati untuk berfungsi dan meningkatkan methallotheinein, iaitu sejenis unsur yang membantu menyingkirkan logam bahaya dari hati.

7. Meningkatkan imuniti badan
Zink bertindak sebagai anti oksidan untuk menyingkirkan radikal bebas dari badan seterusnya membaiki sel dan meningkatkan sistem imun badan.

8. Membantu fungsi tiroid
Zink membantu penghasilan hormon yang melepaskan tiroid untuk penghasilan tiroksin. Jadi ia sesuai diambil oleh mereka yang mengalami masalah hipotiroid iaitu kelenjar tiroid anda kurang aktif dan tidak menghasilkan hormon tiroid yang secukupnya.

9. Membantu proses pemulihan sel badan
Sukan boleh menyebabkan tekanan pada otot dan tulang yang menyebabkan kekurangan zink yang banyak disimpan di bahagian tersebut. Oleh kerana zink penting untuk pembinaan semula sel, adalah penting bagi lelaki yang aktif untuk memastikan kandungan zink yang cukup untuk pembentukan semula sel yang sihat dalam badan.

Disebabkan badan manusia tidak menghasilkan zink, ia mesti diperolehi daripada sumber makanan harian, iaitu daging, makanan laut, produk tenusu, bijirin dan kekacang.

Jika anda ingin mengambil suplimen zink, pastikan membaca bahan yang terkandung pada suplimen. Hanya ambil satu suplemen yang mengandung zink pada waktu yang sama untuk menghindari daripada berlebihan dos.