Adakah Kudis Herpes Berbahaya?

Kudis herpes adalah angkitan kulit disebabkan jangkitan virus Herpes atau Herpes Simplex Virus (HSV). Terdapat dua jenis virus herpes yang menyebabkan kudis herpes iaitu Herpes Simplex Virus jenis 1 (HSV-1) dan Herpes Simplex Virus jenis 2 (HSV-2).

HSV-1 lebih kerap membabitkan jangkitan pada mulut dan bibir, tetapi ia juga boleh menjangkiti alat kelamin sebagai penyakit kelamin.

Gejala herpes yang jelas adalah seperti ruam, lepuhan, gelembung air yang pedih dan ulser yang boleh berlaku dalam mulut, bibir atau alat kelamin. Individu yang dijangkiti turut mengalami demam, badan lesu dan bengkak kelenjar limfa.

Jangkitan herpes berlaku melalui sentuhan secara langsung dan kontak kelamin melalui aktiviti seksual. Contoh sentuhan secara langsung ialah ciuman, aktiviti kelamin seperti seks oral, vagina dan dubur.

Malah, geselan antara alat kelamin juga berisiko dijangkiti herpes, meskipun tanpa penetrasi. Herpes tidak berjangkit melalui peralatan seperti sudu, cawan, tuala dan lain-lain.

Sesiapa sahaja berisiko menghidap penyakit berkenaan. Malah, bayi juga boleh dijangkiti herpes jika bayi itu lahir daripada ibu yang dijangkiti herpes pada alat kelamin.

Oleh kerana kebanyakan individu yang dijangkiti herpes tidak bergejala, ini tidak bermakna mereka tidak boleh menjangkiti orang lain.

Herpes masih boleh menjangkiti orang lain kerana virus ini terus membiak (viral shedding) meskipun tidak bergejala.

Penyakit herpes boleh dirawat, tetapi tidak boleh disembuhkan kerana, virus itu akan kekal dalam badan seseorang yang dijangkiti seumur hidup. Namun tidak semua yang dijangkiti herpes mengalami gejala kudis herpes.

Jika mereka bergejala, ubat antiviral akan diberi untuk mengurangkan rasa sakit dan memendekkan tempoh gejala. Kebanyakan pesakit hilang gejala dengan cepat jika rawatan diberi awal sebaik sahaja gejala bermula.

Tetapi, jika gejala kembali muncul dengan kerap, rawatan antiviral akan diberi untuk masa yang lebih lama.

Disebabkan penyakit ini sepanjang hayat, tidak mustahil ada pesakit bimbang mengenai bahaya jangkitan itu. Jangkitan herpes tidak membawa maut atau menyebabkan masalah kesihatan lain yang serius.

Namun, gejala jangkitan ini boleh mengganggu kehidupan seharian kerana kudis mencetuskan kesakitan dan rasa pedih.

Syafiq Farhain, penyanyi berusia 27, antara individu yang menghidapi kudis herpes atau jangkitan oral Herpes Simplex jenis 1 (HSV-1) sejak kanak-kanak lagi.

Syafiq atau nama sebenar Nursyafiq Farhain A M Salim ketika dihubungi berkata, ia bukan penyakit keturunan tetapi berpunca dari serangan virus yang sudah ada di dalam badannya akibat antibodi lemah.

Menurutnya, dia dan seorang kakak mengalami penyakit tersebut, cuma ia tidak selalu menyerang jika makan ubat antibiotik yang dibekalkan doktor hingga habis serta mengelakkan tekanan.

Tidak menafikan ia penyakit berjangkit, Syafiq menjelaskan jangkitan HSV-1 dialaminya tidak membabitkan penyakit kelamin. Syafiq juga memberitahu penyakit itu kadang-kadang hanya menyerang dua atau lima tahun sekali.

Manakala HSV-2 lebih khusus membabitkan jangkitan pada alat kelamin. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti herpes tidak bergejala, malah mereka tidak pernah mengetahui dijangkiti.

Jangkitan herpes kelamin bagi wanita lebih berisiko jika wanita terbabit hamil kerana ia boleh menjangkiti bayi (neonatal herpes).

Mereka yang dijangkiti herpes juga mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk dijangkiti HIV. Ini kerana aktiviti virus pada kulit menyebabkan lebih banyak kawasan terdedah kepada jangkitan HIV untuk memasuki badan.

Selain jangkitan herpes pada alat kelamin, ia juga boleh berlaku pada mulut, bibir, jari dan mata. Kebanyakan gejala kudis herpes pada kawasan selain alat kelamin adalah disebabkan jangkitan HSV-1, yang mana kebanyakannya tidak berkaitan dengan aktiviti kelamin.

Bagaimanapun, HSV-1 juga boleh menyebabkan jangkitan pada alat kelamin seperti HSV-2. Jangkitan herpes pada mulut dan bibir paling kerap berlaku, ia panggil ‘cold sore’.

Sesiapa yang menyentuh kudis ini dan menyentuh bahagian lain pada badan menyebabkan herpes menjangkiti kawasan lain seperti mata dan jari tangan (herpes whitlow).

Mereka yang dijangkiti HSV-1 pada mulut dan bibir dan melakukan seks oral kepada pasangannya menyebabkan jangkitan boleh merebak ke alat kelamin pasangan.

Kudis herpes boleh dirawat dengan pemberian ubat antiviral, bukan antibiotik. Ubat antiviral yang diambil dengan betul untuk tempoh masa yang betul atas nasihat doktor, boleh mengurangkan gejala kudis herpes dan memendekkan tempoh gejala.

Seseorang mungkin memerlukan tempoh rawatan antiviral yang lebih lama jika terlalu kerap bergejala.